News

Rencana - Hukum Hudud: Tak Tahu Diam Diri Sajalah

Posted on 15 July 2002
 

Hukum Hudud: Tak Tahu Diam Diri Sajalah

Susulan rancangan yang lepas mengenai Undang-undang Hudud dan Qisas Terengganu dan kesannya ke atas wanita, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) telah turun ke padang untuk meninjau pendapat wanita tentang pelaksanaan undang-undang tersebut.

Nampaknya Terengganu berjaya meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas). Menurut wakil PAS, pelaksanaan hukum Hudud adalah adil kerana ia adalah Undang-undang Tuhan dan ditadbirkan oleh lelaki yang adil dan saksama.

Secara hormatnya WAO menerima hukum Hudud sebagai prinsip Al-Quran, tetapi memahami pelaksanaan undang-undang Hudud dewasa ini, tidak sesuai. Keadilan merupakan prinsip Islam yang asas. Namun, pelaksanaan undang-undang Hudud akan menyebabkan kesan yang tidak adil kepada kedua-dua pihak wanita dan lelaki.

Sehingga kini, kita hanya mendengar pandangan pihak pemerintah, wakil parti politik, ahli akademik, dan wakil agama.

WAO telah ke Kuala Terengganu untuk mendapatkan suara rakyat, terutamanya wanita, untuk meninjau pandangan mereka tentang hukum Hudud dan pelaksanaannya di negara ini.

WAO mendapati wanita di Kuala Terengganu berbelah bagi dalam pendapat mereka. Ramai yang tegas menyokong pelaksanaannya semata-mata kerana ia adalah hukum Allah.

"Pendapat Mak Cik baiklah. Sebab ini hukum Hudud, Hukum Islam"

"Sokong Hukum Hudud."

"Kita berpandukan kepada Al-Quran sahaja."

Apakah benar itu alasan mereka menyokong hukum Hudud?

Sebenarnya, terdapat sebilangan suara wanita yang mencerminkan kurang pengetahuan mengenai hukum Hudud ini.

"Sebab dia hukum-hakam maka kita buat senyap saja - itu saja"

"Hukum Hudud saya rasa ikut Undang-undang Islam, jika berlaku kecurian, potong tangan-lah. Kalau zina kena sebat. Tak nak komen-lah."

"Saya rasa jika saya tak tahu saya mendiamkan diri sahaja - kita buat senyap sahaja."

Oleh kerana wanita kurang mendapat maklumat tentang hukum Hudud, mereka takut menyuarakan pendapat. Ini mewujudkan suatu keadaan di mana wanita tersisih dalam proses pengutipan suara tentang pelaksanaan hukum Hudud di negeri itu.

Apa lagi alasan mereka yang menyokong hukum Hudud ini?

"Kita bergantung pada al-Quran dan Hadis, tetapi bagi orang Islam ini maknanya dalam al-Quran ini menyatakan bahawa hukum-hukum – bagi yang mereka yang melakukan kesalahan itu akan dikenakan hukuman. Secara detail, dalam Hadis kita, dalam agama kita ada yang menyatakan bagi orang yang melakukan kesilapan macam ini-macam ini, maka dikenakan macam ini. Itu yang dipanggil hukum Hudud, bagi mereka yang menghalusi itu, tentang hukum itu."

Ada juga yang berpendapat ia dapat mengurangkan jenayah.

"Tapi dengan Hukum Hudud, pencuri takut sikit-lah"

Tetapi bukankah ini satu hujah yang sah?

Menurut laporan pertubuhan wanita dari negara-negara yang mengamalkan hukum Hudud, tiada bukti yang mencerminkan masyarakat tersebut bebas dari jenayah.

Tidakkah hukum Hudud menjadi alat mencegah bakal penjenayah?

Hukum Hudud sebenarnya tidak menyelesaikan sesuatu isu tetapi hanya bertindak atas dasar pencegahan semata-mata menerusi hukuman yang zalim dan kejam.

Adakah semua wanita Terengganu berminat tentang isu ini?

"Tak ada komen sebab berbelah bagi."

"Kerana saya kurang minat politik- tak minat-lah, kurang ikut perkembangan."

Ternyata sekali, segelintir mereka tidak berminat. Adakah ia isu politik atau agama?

Kita sebenarnya tidak harus mempertikaikan samada ia isu politik atau agama. Undang-undang Hudud ini sebenarnya merupakan penghinaan terhadap maruah diri dan juga bercanggah dengan norma-norma hak asasi manusia.

Ramai juga yang membangkang pelaksanaan hukum Hudud atas dasar diskriminasi dan hak asasi wanita tergugat.


"Tak terbela hak kita sebagai wanita. Sebab dari segi yang dia kata kes rogol diperlukan empat saksi lelaki - jadi saya tidak setuju. Macam mana kita nak bela diri wanita kan - seorang saksi pun susah nak dapat, jadi kalau kes macam ini susah nak buat laporan apa-apakan."


"Tentang hukum Hudud di Terengganu, saya rasa hukuman ini tak berapa setuju - kebiasaan ada undang-undang yang ini, pada zaman dulu ada undang-undang Allah tapi dari segi akan datang, kebiasaannya kita boleh atasi dengan cara yang baik."


Secara langsung, pelaksanaan hukum Hudud ini tidak semestinya mencerminkan permintaan keseluruhan rakyatnya.


Kemusykilan yang paling ketara ialah kurangnya maklumat mengenai Hukum Hudud ini secara keseluruhan. Ramai warga Islam berpendapat hukum tersebut ini ajaran Tuhan dan langkah menolaknya dilihat sebagai menolak agama.


Masyarakat Malaysia jarang atau berwaspada dalam membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan agama. Masyarakat sivil amat khuatir untuk membincangkan arah aliran amalan agama secara terbuka kerana bimbang ia adalah perkara sensitif dan akan digelar bersifat menghasut.


Sejak berdekad-dekad lagi, wanita tidak berhenti memperjuangkan hak mereka dalam pembangunan sosio-ekonomi seperti pendidikan dan pekerjaan.


Tetapi hairannya kini, apabila timbulnya persoalan agama yang mendiskriminasikan wanita, suara mereka tidak terdengar. Kita perlu mengutarakan persoalan ini.


Kenapa pula wanita dan masyarakat kian membisu?


WAO berpegang teguh kepada prinsip bahawa Hukum Hudud ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan amat mendiskriminasi. Kerajaan pusat haruslah prihatin terhadap suara rakyat dan menyediakan saluran untuk meneruskan perdebatan terbuka tentang bukan sahaja hukum Hudud tetapi juga tentang amalan agama.


Wathshlah G Naidu dan Lee Shook Fong
Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).



«  Back