News

Pastikan 30% wanita di dalam Kabinet dan laksanakan pembaharuan ke arah kesamarataan gender

Posted on 22 May 2018
 

Pastikan 30% wanita di dalam Kabinet dan laksanakan pembaharuan ke arah kesamarataan gender


Joint Action Group for Gender Equality (JAG) menyeru kepada Pakatan Harapan untuk memastikan terdapat minima 30 peratus perwakilan wanita di dalam Kabinet, dan melaksanakan pembaharuan perundangan dan institusi untuk mempromosi kesamarataan gender.

Pakatan Harapan telah berjanji di dalam manifesto mereka, untuk “memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus penggubal polisi terdiri daripada wanita”.

Pada malam sebelum pilihan raya, Tun Dr. Mahathir berikrar untuk menamatkan diskriminasi terhadap wanita.

Tetapi, hanya 20 peratus sahaja wanita yang diumumkan sebagai Menteri Kabinet setakat ini. Kabinet ialah badan penggubalan polisi yang tertinggi di negara ini. Maka, adalah sangat mustahak untuk wanita mempunyai suara di dalam Kabinet.

Jumlah wanita juga sangat sedikit di dalam barisan Exco negeri Pulau Pinang, Selangor, Johor, Melaka, dan juga di dalam kabinet negeri Sabah. Hanya ada seorang sahaja wanita di dalam setiap barisan Exco di negeri yang disebutkan tadi, kecuali Exco negeri Selangor, yang mempunyai dua orang wanita. Itu hanyalah 9 hingga 20 peratus perwakilan wanita di dalam tahap Exco negeri.

Pakatan Harapan masih ada peluang untuk membetulkan keadaan di tahap Persekutuan. Sekurang-kurangnya lima orang wanita harus dinamakan untuk jawatan menteri kabinet yang berbaki, jika jumlah kementerian adalah 25 keseluruhannya. Terdapat 21 orang ahli parlimen wanita yang berkebolehan, dan merupakan jumlah yang cukup untuk pertimbangan menteri Kabinet.

Kami juga menggesa Pakatan Harapan untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah kementerian dan jabatan kerajaan, untuk terdiri daripada wanita.

Pembaharuan Undang-Undang

Di samping memastikan suara wanita termasuk di dalam pembuatan keputusan, kita juga harus melaksanakan pembaharuan undang-undang untuk mempromosi kesamarataan gender.

Pakatan Harapan telah berjanji di dalam manifesto mereka untuk “memastikan sistem perundangan melindungi hak wanita di sisi undang-undang dan maruah wanita”.

Sehubungan dengan kenyataan itu, kami mengesyorkan langkah-langkah yang berikut:
Pertama, gubal undang-undang baru, termasuklah Akta Kesamarataan Gender, Akta Gangguan Seksual, Akta Pekerja Domestik, dan perlindungan daripada hendapan (stalking).

Kedua, menilai semua undang-undang sedia ada dengan membuang peruntukan yang mendiskriminasi, dan menambah baik hak asasi.

Ini termasuklah pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan kaum ibu mempunyai hak yang sama rata untuk memindahkan kewarganegaraan, dan menambahkan perlindungan terhadap semua diskriminasi kelainan upaya, dan juga peruntukan untuk hak kepada privasi. Undang-Undang Keluarga Islam juga harus dipinda untuk menegakkan keadilan dan kesamarataan untuk wanita Muslim.

Ketiga, mansuhkan undang-undang yang mendiskriminasi dan menindas wanita, seperti perkahwinan bawah umur, ‘unilateral conversion’ dan rogol dalam perkahwinan - dan memastikan fatwa tidak mempunyai kuasa perundangan. 

Pembaharuan Institusi

Pakatan Harapan juga harus memastikan bahawa negara Malaysia mempunyai institusi yang sesuai untuk memajukan kesamarataan gender dan pemerkasaan wanita.

Kementerian Wanita harus menumpukan kepada hak asasi manusia dan kesamarataan gender, bukan mengukuhkan stereotaip bahawa Kementerian Wanita harus dikaitkan dengan keluarga, kanak-kanak dan kebajikan. Kuasa Kementerian untuk membuat keputusan tentang kemajuan wanita juga harus diperkuatkan.

Sekolah-sekolah di seluruh Malaysia harus mengajar pendidikan hak asasi manusia dan pendidikan seks yang selari dengan piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pakatan Harapan juga harus memperkuatkan dan memperkasakan jentera kerajaan dan organisasi yang bertindak balas terhadap isu kesamarataan gender. Hal ini termasuklah memberi peruntukan sumber yang mencukupi kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, One Stop Crisis Centre (OSCC) dan Unit Jenayah Seksual PDRM.

Akhir sekali, semua kementerian mesti mengamalkan bajet responsif-gender untuk memperkuatkan kapasiti kerajaan untuk memajukan kesamarataan gender. Ini termasuklah larangan untuk menggunakan dana awam untuk meneruskan diskriminasi dan keganasan seksual dan gender.

Ketika PRU14, ramai wanita keluar mengundi untuk perubahan, dan sebenarnya melebihi jumlah pengundi lelaki di hampir semua kawasan. Kerajaan baru telah membuat janji yang jelas untuk mempromosi kesamarataan gender di dalam Buku Harapan, dan sebahagian daripada janji-janji ini termasuklah untuk menangani halangan berbentuk institusi, struktur, perundangan, sosial, kebudayaan dan agama.

Kami menuntut kerajaan baru untuk melakukan perubahan seperti yang dijanjikan.

###
 
 
Disokong oleh organisasi-organisasi JAG berikut:
  • Women’s Aid Organisation (WAO)
  • All Women’s Action Society (AWAM)
  • Association of Women Lawyers (AWL)
  • Justice for Sisters
  • Perak Women for Women (PWW)
  • Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
  • Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
  • Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO)
  • Sarawak Women for Women Society (SWWS)
  • Sisters in Islam (SIS)
  • Tenaganita
  • Women’s Centre for Change (WCC Penang)


«  Back