News

Mangsa keganasan rumah tangga mendapatkan bantuan melalui WhatsApp makin berganda

Posted on 29 June 2018
 

 Mangsa keganasan rumah tangga mendapatkan bantuan melalui WhatsApp makin berganda


Semakin banyak mangsa keganasan rumah tangga mendapatkan khidmat pertolongan melalui WhatsApp sekali gus membawa kepada peningkatan berganda penggunaan talian bantuan WhatsApp/SMS Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) pada 2017, menurut Laporan Tahunan WAO 2017 yang baru diterbitkan.

Pada 2017, WAO memberi 1,698 konsultasi menerusi talian bantuan WhatsApp/ SMS ‘TINA’ berbanding dengan 699 konsultasi pada tahun sebelumnya. 

"Ramai mangsa keganasan rumah tangga berasa lebih selesa mendapatkan bantuan melalui WhatsApp. Menghantar pesanan ringkas adalah kurang menakutkan daripada bercakap melalui telefon, sekali gus mengurangkan halangan bagi mangsa untuk mendapatkan sokongan," kata Charlene Murray, Pengurus Kes WAO.

"Trend ini konsisten dengan data yang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia adalah salah satu pengguna tegar WhatsApp di dunia. Dengan memahami bagaimana mangsa keganasan rumah tangga berkomunikasi, kita boleh menjadi lebih strategik dalam menghulurkan bantuan kepada mereka," tambah Charlene.

WAO melancarkan 'TINA', yang bermaksud 'Think I Need Aid' pada 2014. Melalui TINA, mangsa keganasan rumah tangga boleh mendapatkan maklumat mengenai hak dan pilihan mereka. TINA juga merupakan medium asas untuk mengakses perkhidmatan WAO seperti rumah perlindungan dan kerja sosial.

Akronim 'TINA' adalah merupakan idea agensi pengiklanan, TBWA Kuala Lumpur.

Pada 2017, pelukis Chan Wen Li memberi kehidupan kepada TINA sebagai watak berilustrasi. TINA membuat penampilan pertamanya dalam sebuah mural di stesen LRT Masjid Jamek, dan kemudiannya sebagai watak dalam buku puisi WAO, 'Perjalanan Tina'. 

"Idea di belakang ini adalah untuk memberi gambaran TINA seolah-olah sebagai individu yang boleh dihubungkaitkan yang mana mangsa boleh berbicara," jelas Charlene.

Selain daripada TINA, mangsa keganasan rumah tangga juga boleh menghubungi Talian Bantuan WAO. Pada 2017, Talian Bantuan WAO menerima 2,078 panggilan, satu peningkatan daripada 1,640 panggilan pada 2016.

"Kian hari semakin ramai mangsa keganasan rumah tangga tampil ke hadapan untuk mendapatkan bantuan dan sokongan. Penggunaan perkhidmatan Talian Bantuan dan TINA berada pada tahap yang tinggi. Ini menunjukkan bahawa lebih ramai wanita menyedari hak mereka dan memilih untuk tampil bersuara," kata Charlene.

"WAO telah turun ke padang untuk meningkatkan kesedaran tentang keganasan rumah tangga. Pada 2017, kami mencapai lebih dari 3,000 orang melalui ceramah dan kiosk maklumat mudah alih."

Jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada polis juga semakin meningkat sejak 2010. Pada 2016, terdapat 5,796 kes keganasan rumah tangga dilaporkan berbanding 3,173 kes pada 2010.

"Perlindungan undang-undang yang ketat juga menggalakkan mangsa untuk bersuara. WAO dan kumpulan wanita lain sentiasa bekerjasama  dengan pihak kerajaan dalam usaha untuk mempertingkatkan perlindungan bagi mangsa-mangsa. Ini terbukti melalui pindaan kepada Akta Keganasan Rumah Tangga pada 2017," tambah Charlene.

Mangsa keganasan rumah tangga boleh teks TINA di 018 988 8058 atau hubungi Talian Bantuan WAO di 03 7956 3488 untuk mengetahui hak-hak mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan advokasi WAO, sila muat turun Laporan Tahunan WAO 2017 di bit.ly/waoreport.

###


«  Back