News

Jangan mendakwa ibu yang melaporkan penderaan seksual kanak-kanak

Posted on 13 July 2018
 

Jangan mendakwa ibu yang melaporkan penderaan seksual kanak-kanak


Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) kesal kerana Maya Fuaad telah dituduh “membuat laporan palsu”, setelah membuat laporan polis mengenai aduan penderaan seksual anaknya. Maya telah dituduh bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Kes ini menetapkan duluan yang membimbangkan kerana akan menghalang ibu bapa atau pihak-pihak lain daripada melaporkan kes penderaan seksual kanak-kanak.

“Ibu bapa tidak sepatutnya berasa takut untuk tampil melaporkan penderaan kanak-kanak, sama ada seksual ataupun tidak. Ini adalah penyalahgunaan sistem keadilan, dan kegagalan melindungi kanak-kanak,” kata Maya.

Penderaan seksual kanak-kanak seringkali tidak dilaporkan, justeru, pihak berkuasa mestilah memudahkan, dan bukannya menghalang, laporan kes. Pihak berkuasa juga harus melindungi individu-individu yang melaporkan penderaan seksual kanak-kanak dengan niat yang baik.

Akta Kanak-kanak 2001 juga memberi mandat kepada ahli-ahli keluarga untuk membuat laporan jika mereka “atas alasan yang munasabah mempercayai” bahawa seseorang anak telah didera. Kegagalan melaporkan penderaan kanak-kanak sebenarnya merupakan suatu kesalahan.

Setiap orang juga mempunyai kewajipan untuk melaporkan penderaan seksual kanak-kanak bawah Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017. Akta tersebut menyatakan bahawa “mana-mana orang yang tidak memberikan maklumat mengenai pelakuan … mana-mana kesalahan di bawah Akta ini … kepada pegawai yang menjaga balai polis yang berdekatan, melakukan suatu kesalahan”.

Tindakan pihak berkuasa juga seolah-olah mengukuhkan stereotaip jantina bahawa golongan wanita yang melaporkan penderaan seksual sedang menipu dan tidak boleh dipercayai.

WAO juga bimbang terhadap usaha baru-baru ini untuk mengehadkan dan mengawal akses Maya kepada anak-anaknya. Pengawalan akses kepada anak-anak merupakan taktik yang sering digunakan dalam situasi keganasan rumah tangga.

Memandangkan kes ini merupakan kes kepentingan awam, WAO, Persatuan Peguam Wanita (AWL), dan Voice of the Children (VOC) telah melantik peguam pemerhati untuk memerhatikan proses pengadilan.

###


«  Back