News

Jawatankuasa PBB mempersoalkan Malaysia mengenai undang-undang kesaksamaan gender dan perlindungan untuk semua dan pelbagai wanita

Posted on 18 August 2017
 
Jawatankuasa PBB mempersoalkan Malaysia mengenai undang-undang kesaksamaan gender dan perlindungan untuk semua dan pelbagai wanita

Pada 28 Julai 2017, Jawatankuasa CEDAW PBB menerbitkan senarai soalan dan isu kritikal kepada kerajaan Malaysia mengenai status hak wanita di negara ini berikutan kegagalan kerajaan untuk menyediakan maklumat tersebut dalam laporan kerajaan kepada Jawatankuasa CEDAW. 

Senarai Jawatankuasa tersebut turut meliputi soalan mengenai progres yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam menggubal undang-undang untuk merangkumi peruntukan konvensyen CEDAW dalam undang-undang domestik (seperti melalui Akta Kesaksamaan Gender); langkah yang telah diambil oleh kerajaan dalam melindungi wanita lesbian, biseksual, dan transgender daripada keganasan— termasuk kem ‘pemulihan’ yang ditaja oleh kerajaan; perlindungan yang telah diberikan kepada pekerja-pekerja migran yang didera oleh majikan mereka; langkah-langkah yang diambil untuk menyelaraskan undang-undang sivil dan Syariah dalam perkahwinan serta hubungan kekeluargaan; dan tindakan yang diambil untuk memastikan akses kepada penjagaan kesihatan untuk semua wanita, termasuk mereka yang tidak mempunyai kerakyatan atau dalam tahanan.

Kerajaan harus mengemukakan respons kepada soalan-soalan tersebut dalam tempoh enam minggu, dan respons-respons tersebut kemudiannya akan menjadi asas kepada perbincangan antara kerajaan dan Jawatankuasa CEDAW dalam kajian semula Malaysia pada Februari 2018 di Geneva.

Menurut Shanthi Dairiam, aktivis hak wanita Malaysia dan bekas ahli Jawatankuasa CEDAW, "Kajian semula CEDAW adalah mekanisme antarabangsa untuk memantau pematuhan kerajaan dengan kewajipan mereka untuk memenuhi hak wanita dalam kesaksamaan yang dilakukan di peringkat antarabangsa. Penyerahan laporan CEDAW kepada PBB mengikut tempoh masa yang diberikan serta kualiti laporan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan dalam menghormati kewajipannya terhadap wanita dalam negara ini."

Kajian semula Malaysia pada 2018 akan dijadikan umum dan akan disimpulkan dengan cadangan oleh Jawatankuasa CEDAW kepada kerajaan Malaysia yang meliputi langkah-langkah khusus yang harus diambil untuk menghapuskan diskriminasi dan memastikan hak asasi manusia kepada semua wanita di Malaysia.

Puan Dairiam menekankan kepentingan cadangan-cadangan ini dan menyatakan bahawa "Dapatan-dapatan pakar daripada Jawatankuasa CEDAW harus diambil serius oleh semua kerana ia akan menandakan progres wanita di negara ini."

37 NGO Malaysia turut menyediakan hujahan bertulis kepada Jawatankuasa CEDAW serta memberikan taklimat secara peribadi kepada anggota Jawatankuasa pada 24hb Julai di Geneva dalam usaha mengetengahkan isu-isu kritikal.

"CEDAW memperuntukkan satu mekanisme penting dalam memastikan kerajaan bertanggungjawab dalam menunaikan kewajipan-kewajipannya melindungi dan mempromosikan hak-hak wanita. Kami amat gembira apabila melihat beberapa isu yang kami bangkitkan kepada Jawatankuasa — daripada kegagalan berterusan Malaysia untuk menjenayahkan rogol dalam perkahwinan, kepada peningkatan perkahwinan kanak-kanak — diutamakan dalam soalan Jawatankuasa kepada kerajaan," kata Hui Ying, Presiden Persatuan Peguam Wanita, yang turut hadir dalam taklimat NGO di Geneva.

CEDAW, atau Konvensyen Berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita, merupakan sumber utama undang-undang antarabangsa mengenai hak asasi manusia wanita dan merupakan garis panduan kepada kerajaan dalam menggubal undang-undang dan dasar yang menjamin kesaksamaan gender merentasi semua budaya, bangsa, dan agama.

###

Kumpulan Tindakan Bersama Bagi Kesamarataan Gender (JAG) :
  1. Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
  2. All Women’s Action Society (AWAM)
  3. Persatuan Peguam Wanita (AWL)
  4. Justice for Sisters
  5. Perak Women for Women (PWW)
  6. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
  7. Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO)
  8. Sisters in Islam (SIS)
  9. Women’s Centre for Change (WCC Penang)


«  Back