News

Ahli-ahli Parlimen: Jadikan menghendap (stalking) satu jenayah

Posted on 01 August 2017
 

Ahli-ahli Parlimen: Jadikan menghendap (stalking) satu jenayah


KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen daripada pelbagai parti menggesa agar perlakuan menghendap (stalking) dijadiakan satu kesalahan jenayah.

 

 

“Setakat ini di Malaysia belum ada lagi mana-mana undang-undang yang menyentuh stalking secara menyeluruh atau menghendap mangsa di media sosial atau secara berdepan dengan mangsa” ujar Kasthuri Patto, Ahli Parlimen Batu Kawan daripada DAP semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 yang berlangsung di Dewan Rakyat pada minggu lepas.

 

 

“Kita perlu memasukkan stalking atau perlakuan menghendap ini sebagai satu kesalahan jenayah dalam Akta Keganasan Rumah Tangga dan juga Kanun Keseksaan,” tambah beliau.

 

 

Beliau turut mengetengahkan bahawa terdapat banyak kes di mana si pendera menggunakan akaun sosial media seperti Facebook, WhatsApp dan Wechat untuk menghendap dan mengganggu mangsa.

 

 

Ahli-ahli Parlimen lain turut menyentuh isu menghendap dalam perbahasan mereka.

 

 

“Kadang-kadang si pendera itu akan terus-menerus mengekori bekas isterinya dan perlakuan menghendap ini tidak ada dalam pindaan kita ini. Bekas suami berpotensi untuk mengekori, menakutkan serta mengugut bekas isterinya,” ulas Dr. Siti Mariam Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja daripada Amanah.

 

 

Khoo Soo Seang, Ahli Parlimen Tebrau dari BN turut menambah bahawa undang-undang bukan sahaja perlu mencegah perlakuan menghendap oleh pihak pendera, tetapi juga perlu menghalang perlakuan menghendap oleh pihak ketiga yang membantu si pendera.

 

 

“Adakah pihak kementerian melihat perlakuan menghendap ini sebagai satu jenayah yang boleh dimasukkan dalam Kanun Keseksaan dan dimuatkan dalam pindaan ini atau kementerian mempunyai pandangan dan pendirian yang berbeza terhadap perlkuan menghendap?” soal Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, ahli Parlimen Gombak daripada PKR.

 

 

Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjelaskan bahawa perlakuan menghendap perlu dimasukkan dan ditakrifkan sebagai kesalahan jenayah dalam Kanun Keseksaan terlebih dahulu sebelum boleh dimasukkan dalam Akta Keganasan Rumah Tangga.

 

 

Beliau, yang juga merupakan Ahli Parlimen Batang Lupar daripada BN, walau bagaimanapun tetap menekankan kepada sidang Dewan Rakyat bahawa KPWKM sedang meneliti cadangan menjadikan perlakuan hendapan sebagai satu kesalahan jenayah.

 

 

“Pihak kerajaan akan sentiasa mengikuti perkembangan perbuatan stalking yang dihujahkan oleh pelbagai pihak pada masa ini dan akan mempertimbangkan untuk menyokong supaya ia dijadikan suatu kesalahan jenayah khusus di masa akan datang,” ujar beliau semasa sesi penggulungan perbahasan di Parlimen pada Selasa lepas.

 

 

Dato’ Sri Rohani menegaskan bahawa sememangnya hasrat beliau untuk menjadikan perlakuan menghendap sebagai satu kesalahan jenayah khusus, dan beliau merancang untuk menglibatkan NGO-NGO dan aktivis-aktivis untuk mencapai matlamat tersebut.

 

 

Selaras dengan seruan itu, Carol Chin, Presiden Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menyatakan sokongan penuh seterusnya menekankan kemudaratan yang boleh berlaku berikutan perbuatan menghendap.

 

 

“Perlakuan menghendap sering kali mengakibatkan keganasan yang lebih dahsyat. Sembilan daripada 10 wanita yang dilaporkan terbunuh oleh pasangan dilaporkan telah dihendap oleh si pelaku terlebih dahulu,” katanya.

 

 

“Walau bagaimanapun, mangsa-mangsa perlakuan menghendap sering kali gagal mendapatkan perlindungan. Dalam kebanyakan kes, pihak polis hanya boleh mengambil tindakan selepas si penghendap mencederakan mangsa.”

 

 

“Malaysia perlu memperkukuhkan sistem perundangan yang sedia ada bagi membolehkan pihak berkuasa menghalang si penghendap daripada mengancam keselamatan mangsa dari awal lagi”, tambah Chin.

 

 

Perlakuan menghendap telah pun diiktiraf sebagai satu kesalahan jenayah di bawah pelbagai sistem perundangan termasuklah di Singapura, India, Filipina, Jepun, dan juga United Kingdom.

 

###

 

 



«  Back