News

Hentikan Intimidasi terhadap Peguam Hak Asasi Manusia

Posted on 13 July 2017
 

Hentikan Intimidasi terhadap Peguam Hak Asasi Manusia

Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG)

 

Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) menggesa Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan dakwaan terhadap peguam hak asasi manusia, Siti Kasim, yang telah didakwa “menghalang seorang pegawai kerajaan menjalankan tugasnya”. Kami juga menyeru kerajaan Malaysia untuk menghentikan undang-undang, polisi, dan amalan yang mendiskriminasi komuniti transgender, dan mematuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

 

Gugurkan dakwaan terhadap Siti Kasim

 

Siti Kasim merupakan seorang peguam hak asasi manusia terkemuka berikutan usaha beliau dalam membela hak-hak masyarakat pribumi, wanita, dan golongan LGBT. Pada 13 Jun 2017 yang lalu, beliau telah didakwa “menghalang seorang pegawai kerajaan menjalankan tugasnya” di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

 

Perkara ini berlaku apabila beliau mempersoalkan kesahihan serbuan yang dijalankan oleh pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sebuah acara transgender yang tertutup. Siti Kasim telah memperkenalkan diri beliau sebagai peguam dan menjalankan tugas rasminya sebagai peguam di acara tersebut.

 

Pada 23 Jun 2017, Siti Kasim telah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan beliau telah dibebaskan dengan ikat jamin. 22 Ogos 2017 telah ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes. Jika didapati bersalah, beliau boleh dikenakan hukuman dua tahun penjara, denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

 

Dakwaan yang dikenakan terhadap Siti Kasim adalah satu penghinaan terhadap kebebasan profesion perundangan. Pendakwaan ini membimbangkan kerana merendahkan kemampuan peguam dalam mempertahankan hak klien mereka tanpa bimbang risiko akan ditangkap atau didakwa. Kebebasan para peguam untuk menjalankan tanggungjawab profesional mereka adalah penting untuk mempertahankan hak asasi manusia, mengangkat peranan undang-undang, dan menegakkan keadilan.

 

Kami menggesa Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan pendakwaan terhadap Siti Kasim dengan segera.

 

Hentikan diskriminasi terhadap komuniti transgender

 

Selain itu, JAG juga menyeru kerajaan Malaysia untuk menghentikan undang-undang, polisi dan amalan yang mendiskriminasikan komuniti transgender – contohnya, serbuan terhadap golongan transgender dalam acara tertutup yang membawa kepada dakwaan terhadap Siti Kasim.

 

Tindakan mendiskriminasi komuniti transgender ini mencabul perlindungan terhadap diskriminasi berasaskan gender seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Tindakan sedemikian turut mencabul hak asasi manusia yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu kebebasan daripada diskriminasi, hak untuk keamanan peribadi, serta kebebasan bersuara seperti yang telah digariskan oleh Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

 

Tegakkan undang-undang dan piawai hak asasi manusia antarabangsa

 

JAG menyeru pihak berkuasa untuk memansuhkan semua undang-undang dan polisi yang mendiskriminasi dan memastikan Malaysia mematuhi undang-undang dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa. Pertuduhan yang dikenakan terhadap Siti Kasim telah melanggar Prinsip Asas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Peranan Peguam. Pejabat Peguam Negara perlu menggugurkan dakwaan terhadap beliau dan patuh kepada piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

 

Beri perhatian terhadap desakan daripada organisasi hak asasi manusia

 

JAG bersama-sama institusi yang lain menyeru kerajaan Malaysia untuk menghormati dan mengangkat hak peguam untuk menjalankan tugasan perundangan tanpa sekatan ataupun gangguan.Institusi-Insititusi berkenaan termasuklah Suruhanjaya Hak Asasi manusia (SUHAKAM), Majlis Peguam Negara, Amnesty International, dan Lawyers for Liberty.

###

 

Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG):

1.    Women’s Aid Organisation (WAO)

2.    All Women’s Action Society (AWAM)

3.    Association of Women Lawyers (AWL)

4.    Justice for Sisters

5.    Perak Women for Women (PWW)

6.    Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)

7.    Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)

8.    Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO)

9.    Sisters in Islam (SIS)

10.  Tenaganita

11.  Women’s Centre for Change (WCC Penang)



«  Back