News

Lindungi Mangsa Keganasan Rumah Tangga. Kekalkan Perintah Perlindungan.

Posted on 08 March 2017
 

Lindungi Mangsa Keganasan Rumah Tangga. Kekalkan Perintah Perlindungan.

Kumpulan Tindakan Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG)

 

Kumpulan Tindakan Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) menyokong keputusan yang diambil oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk mengekalkan Perintah Perlindungan ke atas mangsa keganasan rumahtangga, Emilia Hanafi. Perintah tersebut menekankan bahawa tindakan harus diambil oleh pihak berkuasa untuk melindungi wanita dan kanak-kanak daripada penderaan.

 

Akta Keganasan Rumahtangga 1994 telah diluluskan oleh Parlimen dengan tujuan melindungi mangsa yang terselamat dan juga mencegah keganasan daripada berlanjutan. Maka, mahkamah harus memenuhi tujuan ini dengan menguatkuasakan Perintah Perlindungan, yang jelas sekali menghalang kejadian keganasan rumahtangga seperti ini daripada berulang.

 

Pada tanggal 20 Mei 2016, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah mengeluarkan Perintah Perlindungan terhadap Emilia Hanafi yang memberikannya perlindungan daripada bekas suami. Namun demikian, bekas suaminya telah memohon untuk mengetepikan Perintah tersebut.

 

Pada 22 Disember 2016,  Majistret Zuhair Rosli menolak permohonan bekas suami Emilia untuk mengetepikan Perintah Perlindungan tersebut; dan mengesahkan bahawa Perintah tersebut adalah terpakai sehingga bulan Mei 2017 sebagaimana yang telah diluluskan. Berdasarkan bukti yang dikemukakan beserta tiga (3) laporan polis bersama laporan keganasan rumahtangga yang dilapor oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majistret Zuhair mengesahkan bahawa Emilia memerlukan perlindungan.

 

Di dalam keputusan yang diberikan oleh Majistret Zuhair, mahkamah akan antara lainnya, mengambil kira laporan polis yang berkaitan, semasa mempertimbangkan untuk mengeluarkan Perintah Perlindungan. Kebarangkalian yang lebih tinggi bahawa keganasan akan berulang. Atau sebaliknya, merupakan satu faktor penentu.

 

Merujuk kepada laporan polis, Majistret Zuhair menekankan bahawa ahli keluarga Emilia telah mencuba melindungi Emilia daripada pukulan bekas suaminya, sebagaimana yang didakwa; sebuah insiden yang mengakibatkan trauma kepada mereka yang menyaksikan keganasan rumahtangga sedemikian rupa. Oleh itu, Emilia dan mangsa-mangsa yang terlibat memerlukan Perintah Perlindungan, yang turut meliputi penderaan emosi. 

 

Dokumen-dokumen mahkamah ini – Perintah Perlindungan Interim yang dikeluarkan oleh mahkamah semasa siasatan berjalan, dan Perintah Perlindungan yang dikeluarkan ketika pertuduhan jenayah dibawa terhadap orang yang kena tuduh – memberi jaminan kepada mangsa bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang apabila penganiayaan berterusan. Perintah Perlindungan Interim dan Perintah Perlindungan tidak menafikan hak si pelaku keganasan, kerana ia hanya menghalang penderaan lanjut dan melindungi mangsa keganasan. Tidak ada sesiapa pun berhak menyakiti atau menganiayai orang lain.

 

Selain daripada kes Emilia, terdapat beberapa kes di mana pelaku keganasan telah memohon untuk mengenepikan Perintah Perlindungan Interim. Ini boleh mengancam nyawa wanita dan kanak-kanak daripada keganasan yang berlanjutan.

 

Keputusan Majistret Zuhair cukup jelas menegaskan bahawa keganasan rumahtangga merupakan suatu jenayah yang kejam terhadap mangsanya, terutamanya wanita dan kanak-kanak. Pihak berkuasa harus mengambil tindakan yang menyeluruh dan berkesan demi melindungi wanita dan kanak-kanak daripada jenayah sebegitu. Pihak berkuasa juga hendaklah memberi peringatan yang tegas bahawa masyarakat ini tidak akan sekali-kali bertoleransi dengan keganasan rumahtangga.

###

 

Kumpulan Tindakan Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG):

  1. Women’s Aid Organisation (WAO)
  2. All Women’s Action Society (AWAM)
  3. Association of Women Lawyers (AWL)
  4. Perak Women for Women (PWW)
  5. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
  6. Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
  7. Sabah Women’s Action-Resource Group (SAWO)
  8. Sisters in Islam (SIS)
  9. Women’s Centre for Change, Penang (WCC)

 



«  Back