News

Wujudkan Lebih Banyak Rumah Perlindungan untuk Keganasan Rumah Tangga

Posted on 21 June 2017
 

 Wujudkan Lebih Banyak Rumah Perlindungan untuk Keganasan Rumah Tangga

Pada minggu lalu, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi keganasan terhadap wanita memaklumkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB bahawa kerajaan mempunyai kewajipan hak asasi manusia untuk menyediakan rumah perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga. Kerajaan Malaysia harus mematuhi seruan ini dan mewujudkan lebih banyak rumah perlindungan keganasan rumah tangga di Malaysia.

 

Jumlah rumah perlindungan keganasan rumah tangga di Malaysia adalah di tahap kritikal. Ini terbukti apabila hanya terdapat 42 rumah perlindungan yang diwartakan, di mana 34 daripadanya dikendalikan oleh kerajaan. Setiap tahun, secara kolektif, rumah perlindungan kerajaan menempatkan secara purata, hanya 32 mangsa keganasan rumah tangga (rumah perlindungan ini tidak ekslusif kepada keganasan rumah tangga).

 

Sementara itu, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), yang mengendalikan rumah perlindungan keganasan rumah tangga terbesar yang diwartakan di Malaysia, menempatkan lebih daripada 100 mangsa keganasan rumah tangga setiap tahun. Malah, permintaan untuk perkhidmatan rumah perlindungan kami sentiasa melebihi kapasiti saban tahun.

 

Ini bermakna sebahagian besar daripada mangsa keganasan rumah tangga tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan rumah perlindungan. Perkara ini sangat merungsingkan kerana kita tahu bahawa keganasan rumah tangga adalah masalah besar yang memberi impak negatif kepada wanita-wanita yang terjejas.

 

Menurut satu kajian pada 2014 yang dikendalikan oleh Universiti Sains Malaysia, 9% daripada wanita Malaysia yang berpasangan didera oleh pasangan mereka. Ini diterjemahkan kepada jumlah yang mengejutkan iaitu lebih 800,000 (hampir satu juta!) wanita Malaysia yang telah atau akan mengalami keganasan rumah tangga dalam hayat mereka.

 

Rumah perlindungan adalah saluran hayat bagi wanita yang nekad untuk meninggalkan rumah keganasan. Adalah begitu mudah bagi kita untuk mempersoalkan "Kenapa mereka tidak lari sahaja?" setiap kali kita mendengar tentang wanita dalam hubungan keganasan. Apa yang tidak bermain di fikiran kita adalah persoalan- "Di mana mereka boleh pergi?"

 

Kebanyakan mangsa keganasan rumah tangga tidak mempunyai keluarga atau sahabat yang boleh menawarkan pertolongan. Ini adalah situasi yang dialami oleh Yasmin, seorang mangsa keganasan rumah tangga.

 

Suami Yasmin memukulnya setiap minggu, menyebabkan lebam di seluruh tubuhnya, dan pada satu ketika, sehingga patah leher. Dia turut mencuri wang daripada Yasmin menggunakan kad ATMnya serta mengganggu rakan dan keluarga Yasmin untuk pinjaman duit. Akibatnya, Yasmin telah diasing dan dipinggirkan daripada keluarga dan rakan-rakannya.

 

Apabila Yasmin akhirnya memutuskan untuk melarikan diri, dia tidak mempunyai tempat untuk pergi, dan tidak dapat menyara dirinya dan anak-anaknya. Nasib baik, seorang kawan merujuknya ke WAO, di mana dia mendapat tempat perlindungan dan keselamatan. Yasmin kini sedang mencari pekerjaan agar dia boleh hidup berdikari dan menanggung keluarganya.

 

Kisah Yasmin jelas menggambarkan bahawa rumah perlindungan beserta dengan sistem sokongan dapat menyelamatkan kehidupan seorang wanita. Ia dapat memberikan ruang selamat kepada wanita untuk melakukan satu perkara yang kebanyakan daripada kita pandang remeh - untuk hidup.

 

Pelapor Khas PBB menegaskan bahawa kerajaan "mesti membantu mangsa membina semula kehidupan mereka dan mengatasi pelbagai impak keganasan. Ini merangkumi akses kepada perkhidmatan yang berpatutan, sesuai dan langkah-langkah perlindungan." Kami di WAO menyokong pandangan ini.

 

Kerajaan Malaysia harus mewujudkan lebih banyak rumah perlindungan keganasan rumah tangga – ini termasuk memperuntukkan lebih banyak dana untuk menjalankan dan menguruskan rumah perlindungan ini. Pegawai sosial dan kaunselor turut memainkan peranan penting dalam perkhidmatan rumah perlindungan kerana mereka dapat memberikan sokongan emosi penting kepada wanita dan anak-anak mereka. Oleh itu, kerajaan harus menyediakan perkhidmatan perlindungan komprehensif yang meliputi kerja sosial dan kaunseling.

 

Mangsa keganasan rumah tangga mempunyai hak untuk rumah perlindungan dan keselamatan. Dengan menyediakan perkhidmatan sedemikian, kita sekali gus dapat menyelamatkan nyawa mereka dan menjanjikan kehidupan yang lebih baik daripada terus dibelenggu keganasan.

 
LIM YVONNE
Duta Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

 



«  Back