News

Kenyataan akhbar: Pindaan kepada Akta Keganasan Rumah Tangga dialu-alukan; sekarang tingkatkan penguatkuasaan

Posted on 04 April 2017
 

Kenyataan akhbar, 4 April 2017

Pindaan kepada Akta Keganasan Rumah Tangga dialu-alukan; sekarang tingkatkan penguatkuasaan

Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG)


Kami menyokong Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 yang dibentangkan di Parlimen semalam. Memandang ke hadapan, kita perlu mengukuhkan penguatkuasaan dan mempertingkatkan lagi undang-undang.


Pindaan-pindaan kepada Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (AKRT) ini adalah positif. RUU ini akan:

  1. Mencegah jurang perlindungan. Perintah perlindungan interim (IPO) melindungi mangsa semasa siasatan polis, manakala perintah perlindungan (PO) melindungi mangsa semasa prosiding mahkamah jenayah. RUU memperjelaskan bila IPO berakhir, dan bila PO bermula, supaya mangsa tidak ditinggalkan tanpa perlindungan antara penyiasatan polis dan prosiding mahkamah.

  2. Mengukuhkan IPO untuk mengelakkan penderaan berulang. Dengan pindaan ini, IPO boleh disertakan dengan perlindungan tambahan, seperti melarang pendera daripada menghampiri mangsa - supaya polis boleh campur tangan sebelum keganasan berlaku.

  3. Memperluaskan definisi keganasan rumah tangga. Keganasan rumah tangga akan merangkumi: menyalahgunakan harta, yang menyebabkan kegusaran; mengancam, yang menyebabkan kegusaran atau ketakutan untuk keselamatan; atau komunikasi (termasuk secara elektronik) dengan mangsa untuk mencabul kehormatan.

  4. Mempertingkatkan peruntukan pemulihan. Dengan RUU ini, mahkamah tidak lagi boleh perintahkan mangsa untuk menghadiri badan pendamai dengan pendera, yang bahaya untuk mangsa. Sebaliknya, pendera boleh diperintah untuk menghadiri program pemulihan.

  5. Mengiktiraf hak mangsa untuk penghunian eksklusif. Dengan pindaan ini, jika mahkamah memberikan mangsa hak penghunian di kediaman bersama, mahkamah mesti memberikan mangsa penghunian eksklusif - bukan hanya sebahagian kediaman tertentu.

  6. Memastikan mangsa dimaklumkan tentang status kesnya. Pegawai polis akan diwajibkan memaklumkan kepada mangsa mengenai status siasatan, status IPO dan PO, dan tarikh mahkamah.

  7. Mewujudkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO). EPO membolehkan mangsa mendapatkan perlindungan dengan lebih cepat - EPO dikeluarkan oleh pegawai kebajikan masyarakat yang mudah diakses (IPO dikeluarkan oleh majistret). Mangsa tidak perlu membuat laporan polis untuk mendapatkan EPO. EPO berkuatkuasa selama tujuh hari, dan melindungi mangsa daripada terhadap kecederaan fizikal dan ketakutan kecederaan fizikal.


RUU ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak berkepentingan. JAG telahpun bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kaukus Parlimen Wanita, dan Jabatan Peguam Negara berkenaan pindaan ini sejak akhir-2013. Pihak lain seperti PDRM, JAKIM, BHEUU, MCMC, Majlis Peguam Malaysia, dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) turut menyumbang.


Penting sekali, kami berterima kasih kepada mangsa-mangsa yang tabah berkongsi pengalaman mereka. Pengalaman-pengalaman ini memberi panduan kepada cadangan-cadangan dasar yang kami kemukakan.


Walaupun kami memuji RUU ini, AKRT mesti terus dipertingkatkan. Memandang ke hadapan, kita harus:

  • Menjenayahkan hendapan (stalking) dalam Kanun Keseksaan dan mengiktiraf hendapan dalam AKRT.

  • Mengiktiraf penderaan antara pasangan intim yang belum berkahwin.

  • Melanjutkan tempoh maksimum PO, untuk melindungi mangsa selepas prosiding mahkamah berakhir.

  • Membolehkan mangsa mendapatkan perlindungan jangka panjang tanpa perlu membuat pendakwaan jenayah terhadap pendera.


Mengubah undang-undang hanyalah langkah pertama. Untuk mengubah kehidupan, agensi-agensi penguatkuasaan - terutamanya PDRM, Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) di hospital awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Peguam Negara dan sistem mahkamah - mesti diberikan sumber, latihan dan penyeliaan yang mencukupi untuk melaksanakan undang-undang.


Langkah seterusnya adalah untuk mengemaskini dokumen Garis Panduan Pengendalian Kes Keganasan Rumah Tangga, iaitu garis panduan bersama agensi-agensi penguatkuasaan.


Jika pelaksanaan berkesan, rang undang-undang baru ini boleh mengubah kehidupan dan menyelamatkan nyawa beribu-ribu mangsa keganasan rumah tangga setiap tahun.


Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG)


  1. Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

  2. Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC)

  3. Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM)

  4. Persatuan Peguam Wanita (AWL)

  5. Justice for Sisters

  6. Persatuan Wanita Untuk Wanita Perak (PWW)

  7. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)

  8. Persatuan Sahabat Wanita Selangor

  9. Sabah Action Resource Group (SAWO)

  10. Persatuan Wanita Untuk Wanita Sarawak (SWWS)

  11. Sisters in Islam

  12. Tenaganita


###


Hubungi: Yu Ren Chung, renchung.wao@gmail.com, 016 718 3247




«  Back