News

[Siaran akhbar] WAO Melancarkan Laporan Keganasan Rumah Tangga 2015 dan Kempen Kesedaran Awam, “Bolehkah Anda Simpan Rahsia?”

Posted on 23 June 2015
 

 Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Melancarkan Laporan Keganasan Rumah Tangga 2015 dan Kempen Kesedaran Awam, “Bolehkah Anda Simpan Rahsia?”

 

 

 

                                               

Kuala Lumpur, 23 Jun 2015 – Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) melancarkan laporan tahunan bertajuk “Berganding Bahu: Kajian Kes dalam Respons Keganasan Rumah Tangga, Laporan 2015”, sekaligus melancarkan pameran seni seramik bertajuk “Bolehkah Anda Simpan Rahsia?” bersama Leo Burnett/ Arc Worldwide Malaysia hari ini di Publika. Majlis pelancaran tersebut dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.

 

Laporan tersebut membutirkan pengalaman mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dan cabaran yang dihadapi mereka dalam mencari perlindungan dan keadilan. Laporan ini juga menyenaraikan saranan komprehensif yang ditujukan kepada pihak berkuasa kerajaan yang berkenaan.

 

Pameran “Bolehkah Anda Simpan Rahsia?” merupakan inisiatif pendidikan awam bertujuan mempertingkatkan kesedaran orang ramai terhadap keganasan rumah tangga. Pameran ini akan mengetengahkan 12 kepala seramik saiz sebenar yang memaparkan wanita yang mungkin merupakan mangsa penderaan. Setiap kepala seramik ini mengisahkan cerita mangsa keganasan rumah tangga yang berbeza, dan menyeru orang ramai untuk tidak berdiam diri jika mereka mengesyaki berlakunya penderaan.

 

Barisan kepala ini dihasilkan secara sukarela oleh artis James Seet daripada Leo Burnett/ Arc Worldwide Malaysia. “Seni seramik digunakan untuk menceritakan kisah sebenar mangsa kerana menggambarkan betapa rapuhnya hidup mangsa penderaan jika tidak dibela. Mangsa biasanya hidup bertopeng sedangkan jiwa mereka sebenarnya terseksa,” kata Seet.

 

 

Description: C:\Users\Valerie- WAO\Desktop\interns\Jess\DV Launch Invites\PDF Invites\Event Pics\Press release 2.JPG

 

“Seiring dengan pegangan ‘Keinsanan’ Leo Burnett,  kami ingin menyedarkan orang ramai akan keparahan isu keganasan rumah tangga. Isu ini tidak mungkin diatasi dalam sekelip mata, tetapi berkat pendedahan dan pendidikan dalam topik ini, kami berharap dapat menggalakkan rakyat Malaysia supaya bertindak apabila menyedari wujudnya keganasan rumah tangga,” jelas artis tersebut.

 

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat amat mengutamakan hak golongan wanita, dan sedang bekerja ke arah mencapai kesaksamaan jantina. Malaysia amat komited kepada Konvensyen berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW). Kementerian sangat menyokong usaha-usaha untuk membantu mereka yang didera oleh ahli keluarga, tidak kira dari pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan,” tekan YB Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.

 

Beliau mengiktiraf kekuatan dan kelemahan dalam sistem respons bagi mangsa, sebagaimana digariskan oleh laporan WAO. Beliau berkata bahawa kementerian akan “mempertimbangkan cadangan-cadangan yang terdapat di dalam laporan” WAO agar keganasan rumah tangga dapat ditangani dengan lebih baik.

 

Sumitra Visvanathan, Pengarah Eksekutif WAO, menekankan peri pentingnya menangani keganasan rumah tangga dengan melibatkan kesemua pihak berkepentingan. Beliau berkata, “Semua agensi berkaitan termasuk pihak bukan kerajaan dan agensi kerajaan seperti pihak hospital dan pihak polis mesti berganding bahu demi mempercepat respons kita terhadap keganasan rumah tangga dan terus memastikan mangsa mendapat sokongan dan bantuan yang disediakan.”

 

Laporan ini mengutarakan peranan utama polis sebagai pihak bertindak pertama  dalam kebanyakan kes keganasan rumah tangga. Daripada 110 mangsa yang ditinjau, 68 (61.8%) daripada mereka mendapatkan bantuan polis terlebih dahulu sebelum pihak lain.

 

“Polis memainkan peranan penting dalam respons keganasan rumah tangga. Adalah amat penting untuk pegawai-pegawai polis menerima sokongan dan latihan sewajarnya untuk mengendalikan kes-kes sebegini,”  jelas Visvanathan.

 

Satu lagi isu yang diketengahkan dalam laporan ini adalah beberapa kejayaan pihak mahkamah dalam membicarakan kes penderaan rumah tangga. Contohnya: kenyataan impak mangsa (victim impact statement, VIS) berjaya digunakan untuk mendakwa pelaku, manakala seorang pelaku lain berjaya dipenjarakan kerana melanggar arahan perlindungan, kali pertama untuk Malaysia.

 

Naib Presiden WAO Tashia Peterson berkata semasa majlis pelancaran, “Keganasan rumah tangga bukan perkara yang normal; wanita berhak hidup tanpa keganasan.  Orang ramai perlu mengenal pasti hakikat ini dan menyedari bahawa setiap daripada kita mempunyai peranan penting dalam membanteras keganasan rumah tangga.”  

 

“Setinggi-tinggi terima kasih kepada Arc Worldwide/ Leo Burnett Malaysia atas bantuan mereka dalam menjayakan pameran seni ini, pejabat YB Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan Brickfields Asia College (BAC) atas sokongan murah hati mereka dalam penerbitan laporan ini. Terima kasih juga kepada Publika kerana menyediakan ruang untuk menjalankan inisiatif-inisiatif ini,” sambung beliau.

 

Description: C:\Users\Valerie- WAO\Desktop\interns\Jess\DV Launch Invites\PDF Invites\Event Pics\Press release 3.JPG

 

Pameran seni WAO akan berlangsung di Blue Bridge, Aras G3, Publika, sehingga 22 Julai dan seterusnya di lokasi-lokasi lain.

 

Laporan WAO boleh dimuat turun di bit.ly/WAOreport.

 

 

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menyediakan tempat tinggal sementara, kerja sosial dan perkhidmatan nasihat untuk mangsa keganasan rumah tangga dan berjuang untuk hak wanita. Sila hubungi talian nasihat kami di 03 7956 3488 atau SMS TINA di 018 988 8058 sekiranya anda atau kenalan anda mengalami penderaan. Bersama-sama, kita merubah kehidupan.

 

 

Untuk maklumat lanjut: Kristine Yap, kristine.wao@gmail.com / 03 7957 0636

 



«  Back