News

Speech from the office of YB Senator Datuk Paul Low, Minister in the Prime Minister’s Department

Posted on 23 June 2015
 

 

 

TEKS UCAPAN

Y. B. DATUK PAUL LOW SENG KUAN, MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN LAPORAN WOMEN’S AID ORGANISATION (WAO)WORKING TOGETHER: CASE STUDIES IN DOMESTIC VIOLENCE RESPONSE, 2015 REPORT

ANJURAN PERTUBUHAN PERTOLONGAN WANITA (WAO)

PADA 23 JUN 2015 (SELASA)

DI BLACK & BLUE BRIDGE, PUBLIKA

JALAN DUTAMAS 1, HARTAMAS HEIGHTS, 50480 KUALA LUMPUR

 

Terima kasih, saudari pengerusi majlis.

Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tashia Peterson, Naib-Presiden Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sumitra Visvanathan, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), rakan-rakan NGO, ahli-ahli akademik, wakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), wakil-wakil daripada agensi-agensi kerajaan, ahli-ahli media, dan para hadirin sekalian.

 1. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) atas kejayaan menghasilkan laporan pemantauan keganasan rumah tangga 2015 (Working Together: Case Studies in Domestic Violence Response, 2015 Report). Tidak dapat dinafikan kepentingan laporan ini bagi setiap pihak yang terlibat dalam membanteras keganasan rumah tangga serta memelihara mereka yang terjejas akibat keganasan ini. Saya melanjutkan setinggi-tinggi pujian atas usaha-usaha seperti ini demi memastikan bahawa setiap wanita di Malaysia dapat menikmati hak mereka untuk mendapat jaminan keselamatan dan kesejahteraan, terutamanya dalam rumah tangga mereka sendiri.

 Tuan-tuan dan puan-puan,

 2. Pandangan yang meletakkan wanita di bawah lelaki tidak boleh diterima. Pandangan seperti ini mengimpak wanita dalam cara-cara yang konkrit, dan membawa kepada diskriminasi yang sistematik dalam semua aspek kehidupan, termasuk sosial, ekonomi dan politik. Disebabkan diskriminasi inilah, keganasan rumah tangga wujud sebagai satu bentuk keganasan yang lebih melibatkan wanita sebagai mangsa. Namun begitu, keganasan rumah tangga bukanlah isu yang hanya memerlukan perhatian kaum wanita sahaja.  

3. Sering kali terdapat keinginan kuat untuk memelihara sfera domestik yang masih dilihat sebagai ruang peribadi. Oleh sebab itu, keganasan terhadap wanita yang dilakukan dalam ruang-ruang domestik seperti rumah tangga dianggap patut ditangani antara suami-isteri dan tidak boleh dicampur tangan.  Anggapan ini salah. Ada kalanya, rumah tangga boleh menjadi ruang yang amat bahaya untuk wanita. Keganasan rumah tangga boleh membawa kepada kecederaan yang serius, termasuk kematian. Keganasan rumah tangga adalah satu jenayah. Pelbagai pihak, termasuk agensi-agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, dan ahli-ahli masyarakat, harus melibatkan diri bagi membanteras keganasan rumah tangga.

 Hadirin sekalian,

 4. Laporan pemantauan ini menarik daripada pengalaman WAO dan wanita-wanita yang menerima perkhidmatan WAO. Laporan ini menekankan cabaran-cabaran yang dialami oleh mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dalam mendapatkan perlindungan dan keadilan, serta cadangan-cadangan untuk mengatasi cabaran-cabaran tersebut. Saya percaya bahawa pengajaran-pengajaran yang dihuraikan dalam laporan ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak berkenaan, termasuk pihak berkuasa dan juga badan-badan bukan kerajaan di Malaysia.

 5.  Kes-kes kajian yang termasuk dalam laporan ini memberi bukti lanjut bahawa menangani keganasan rumah tangga merupakan proses yang rumit dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak. Saya amat berharap agar laporan ini menggalakkan kerjasama antara semua pihak, terutama sekali antara pihak NGO dan kerajaan.

 6.  Keganasan rumah tangga adalah satu pencabulan hak asasi manusia. Keganasan terhadap wanita memberi kesan kepada kita semua, dan setiap orang mempunyai peranan dalam menghapuskannya. Saya berharap agar hubungan antara kerajaan dan NGO-NGO seperti WAO akan berterusan, dan dieratkan lagi, demi menghapuskan keganasan rumah tangga dan semua bentuk keganasan terhadap wanita.


Sekian, terima kasih.



«  Back