News

Officiating address & launch by YB Dato' Sri Hajah Rohani Haji Abdul Karim, Minister for Women, Family and Community Development

Posted on 23 June 2015
 

  

TEKS UCAPAN

 

YB DATO’ SRI ROHANI ABDUL KARIM, MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

SEMPENA

 

MAJLIS PELANCARAN LAPORAN WOMEN’S AID ORGANISATION (WAO)

WORKING TOGETHER: CASE STUDIES IN DOMESTIC VIOLENCE RESPONSE, 2015 REPORT” 

 

 PADA 23 JUN 2015 (SELASA)

DI BLACK & BLUE BRIDGE, PUBLIKA

 JALAN DUTAMAS 1, HARTAMAS HEIGHTS, 50480 KUALA LUMPUR

 

Yang dihormati saudara/saudari Pengerusi Majlis.

 

SALUTASI

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

 

MUKADIMAH

Yang Bhg. Dato’/Datuk Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian.

 

Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani kerana dengan rahmat dan limpah kurniaNya kita semua dapat sama-sama berkumpul dalam majlis yang cukup bermakna pada hari ini. Dikesempatan ini ingin mengambil kesempatan ini bagi merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di atas jemputan ke Majlis Pelancaran Buku Working Together: Case Studies In Domestic Violence Response, 2015 Report.”

 

1.  Saya secara peribadi merasa kagum dengan usaha gigih WAO dalam menghasilkan Laporan Pemantauan Keganasan Rumah Tangga 2015. Laporan ini menjadi rujukan terperinci yang lengkap dengan statistik serta perbincangan kes-kes yang ditangani oleh WAO, WCC Penang (Women's Centre for Change), PWW (Perak Women for Women Society) dan Rose Virginie Good Shepherd Centre di Ipoh.

 

2.      Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pejabat YB Senator Datuk Paul Low yang saya difahamkan telah membiayai penghasilan laporan ini. Terima kasih YB, ternyata isu keganasan rumah tangga tidak dipandang ringan oleh Kerajaan Persekutuan.

 

Hadirin sekalian,

 

KES KEGANASAN RUMAH TANGGA

3. Untuk makluman, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat amat mengutamakan hak golongan wanita dan kanak-kanak. Kami pada ketika ini sedang bekerja ke arah mencapai kesaksamaan jantina, pembangunan keluarga dan masyarakat penyayang dan sejahtera. Sehubungan dengan itu, kementerian sangat menyokong usaha-usaha untuk membantu mereka yang didera oleh ahli keluarga, tidak kira dari pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan. Kami sedar bahawa penguasaan undang-undang ini perlu dipantau supaya kehidupan wanita dan kanak-kanak dapat diperbaik dan keselamatan mereka terjamin.

 

4.  Keganasan rumah tangga merupakan masalah serius yang sering berlaku di Malaysia. Saya difahamkan bahawa 9% wanita Malaysia yang pernah mempunyai teman hidup atau bersuami pernah melalui keganasan rumah tangga. Sehubungan itu, kerajaan telahpun mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi perkara ini, antaranya mengambil langkah proaktif untuk menggubal Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, [Akta 521] dengan mengambil kira pandangan daripada agensi berkaitan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Akta yang berkuat kuasa pada 1 Jun 1996 ini bertujuan memberikan perlindungan undang-undang dalam situasi keganasan rumah tangga dan perkara yang bersampingan dengannya. Perlindungan ini termasuklah perlindungan yang diberi kepada mangsa daripada berterusan menerima ancaman penderaan.  

 

5.     Akta ini seterusnya telah dipinda melalui Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2012 [Akta A414] dan berkuat kuasa pada 20 Februari 2012.  Antara pindaan utama adalah takrifan keganasan rumah tangga telah diperluaskan daripada penderaan bersifat fizikal kepada penderaan bersifat “psikologi termasuk kecederaan emosi kepada mangsa, dan penggunaan bahan yang memabukkan atau apa-apa bahan lain yang menyebabkan delusi kepada mangsa”.

 

6.  Trauma keganasan rumah tangga jauh lebih rumit perlu dilalui oleh mangsa.  Ia merangkumi penderaan fizikal, mental, seksual, sosial dan ekonomi. Biasanya, mangsanya susah untuk melepaskan diri kerana takut akan pendera mereka, selain berdepan dengan tekanan sosial, misalnya daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.  Sebagai masyarakat yang perihatin kita perlu mengambil perhatian sewajarnya dan menghulurkan bantuan sekiranya perkara seumpama ini berlaku di kawasan komuniti kita.

 

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

 

7.  Saya berasa bangga dengan inisiatif-inisiatif yang dilancarkan oleh pihak kerajaan dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan untuk menangani isu keganasan rumah tangga. Perkara ini memperlihatkan dedikasi rakyat Malaysia terhadap penghapusan unsur-unsur diskriminasi terhadap wanita, dan hal ini mempermudahkan pelaksanaan dasar kerajaan untuk menghapuskan penindasan terhadap wanita Malaysia.

 

8.    Golongan wanita lebih kerap dijadikan mangsa keganasan rumah tangga kerana dipandang lemah dan kurang berkuasa dalam masyarakat. Malaysia amat komited kepada CEDAW iaitu Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita. Hal ini penting kepada pembangunan negara secara keseluruhan. Kita mestilah sedar bahawa kaum wanita merupakan 48.6% daripada jumlah penduduk negara yang gigih menyumbang kepada pembinaan negara maju.

 

9.    Jika usaha-usaha memerangi keganasan terhadap wanita sebegini berterusan, saya berasa optimistik terhadap masa depan Malaysia sebagai masyarakat yang memberi hak sama rata kepada semua rakyat tanpa mengira jantina. Tidak boleh dinafikan bahawa kerjasama antara semua pihak amat mustahak bagi pemerkasaan wanita dan kerjasama ini jelas kelihatan dalam sesetengah kes yang dibincangkan dalam laporan pemantauan ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

STATISTIK KES KEGANASAN RUMAH TANGGA

 

10.       Berdasarkan statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM), jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan pada tahun 2014 adalah sebanyak 4,807 kes  berbanding 3,053 kes iaitu peningkatan sebanyak 36 peratus. Saya berharap hal ini menunjukkan peningkatan dalam kepercayaan mangsa-mangsa terhadap pihak berkuasa. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menjalankan program-program seperti mengasaskan One Stop Crisis Centre (OSCC) untuk membantu mangsa keganasan, saya yakin bahawa usaha ini tidak sia-sia.

 

11.     Laporan ini menggariskan kekuatan dan kelemahan dalam sistem sokongan bagi mereka yang mengalami keganasan rumah tangga. Terdapat kes-kes di mana doktor-doktor serta pegawai-pegawai polis begitu cekap sekali dalam membantu wanita dalam membuat laporan dan mencari pertolongan. Inilah sikap yang patut dipuji dan dicontohi oleh semua pihak. Tindakan mereka itu mungkin telah mengubah seluruh kehidupan wanita yang pernah mengalami keganasan rumah tangga. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, hasil laporan ini juga mendapati perkhidmatan yang diberi kepada mangsa seringkali tidak konsisten.   Berdasarkan laporan ini saya harapkan agensi-agensi yang terlibat di pihak kerajaan mahupun NGO perlu mengambil langkah-langkah penambahbaikan demi kesejahteraan mangsa dan rakyat Malaysia.

 

12.       Saya berharap dengan penerbitan laporan pemantauan keganasan rumah tangga yang keempat ini, semua pihak akan dapat maklumat daripada maklum balas yang diberi. Dalam laporan ini, WAO telah menyenaraikan cadangan untuk memperbaiki penguatkuasaan kes keganasan rumah tangga.  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mempertimbangkan cadangan-cadangan yang terdapat di dalam laporan ini, dan melihat kesesuaiannya serta kewajarannya untuk dipertimbangkan dalam perlaksanaan polisi dan program kementerian.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

KERJASAMA DENGAN RAKAN STRATEGIK DAN KEMPEN KPWKM

 

13.       Melihat kepada trend keganasan terhadap wanita yang semakin kerap dilaporkan serta kesedaran kesedaran masyarakat terhadap perkara ini, KPWKM telah mengambil pelbagai inisiatif untuk bersama-sama membanteras serta mengurangkan kadar jenayah keganasan terhadap wanita ini. Pelbagai program telah dirangka sehingga ke peringkat akar umbi untuk menyedarkan rakyat Malaysia tentang peri pentingnya semua rakyat untuk membuka mata dan telinga serta menyemai rasa prihatin masyarakat.

 

14.     Dalam kehidupan masa kini masih terdapat segelintir wanita yang kurang bernasib baik dan diganasi tanpa belas kasihan. Sehubungan itu, bermula pada tahun 2014, KPWKM telah mengambil langkah untuk memanjangkan tempoh kempen menangani keganasan terhadap wanita kepada 90 hari. Dalam tempoh 90 hari tersebut, pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran umum agar menghentikan keganasan terhadap wanita dan memberikan kesedaran kepada wanita yang terlibat agar berani tampil membuat laporan bagi mendapatkan bantuan dan pembelaan. Kempen ini juga dijalankan secara walk-about di tempat-tempat awam seperti shopping malls, stesen LRT/bas/teksi, tempat rekreasi awam dan lain-lain di seluruh Malaysia dengan kerjasama pelbagai pihak terutamanya Pejabat Pembangunan Wanita Negeri dan rakan-rakan strategik KPWKM.

 

15.       Kementerian ini telah bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk dengan mengurangkan jenayah khususnya terhadap wanita menerusi pelaksanaan program-program seperti Program AMANITA  dengan PDRM, Komuniti PERWANI 1Malaysia, Talian Nur 15999, Childline 15999, One Stop Crisis Centre (OSCC) program advokasi seperti Seminar Kepekaan Gender, Literasi Undang-Undang, Wanita Anti Jenayah (WAJA), Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita dan Gadis, Selamatkan Diri Anda (SEDiA), Program Kesejahteraan Emosi dan Program Transformasi Minda.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

16.   Saya percaya tanggungjawab menangani kes keganasan terhadap wanita perlu dipikul dan diselaraskan dengan semua pihak. Masalah ini tidak seharusnya diletakkan di bahu kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sahaja. Masyarakat sejagat juga perlu menyemaikan rasa tanggungjawab ini demi memastikan setiap komuniti bebas daripada kes-kes jenayah keganasan bukan sahaja terhadap wanita tetapi juga terhadap kanak-kanak dan masyarakat sejagat.  Kerjasama bersepadu perlu dipertingkatkan antara kerajaan, pihak berwajib, NGO, ketua masyarakat dan ketua keluarga. 

 

17.    Saya difahamkan bahawa WAO sedang menjalankan pameran untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu keganasan rumah tangga dalam kalangan masyarakat. KPWKM mengalu-alukan program sebegini dan kami berharap program ini dapat memberi kesedaran kepada khalayak ramai agar mereka dapat menyalurkan bantuan kepada mereka yang terlibat dalam kes keganasan rumah tangga ini.

 

PENUTUP

 

18.       Saya ingin memetik – kata-kata pepatah, tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi, kempen ini tidak akan berkesan sekiranya tidak mendapat sambutan yang diharapkan daripada semua pihak.  Saya yakin dengan usaha dan kerjasama berterusan antara semua pihak, kes keganasan rumah tangga dapat dikurangkan.

 

19.       Dengan lafaz bismillahirahmanirahim, saya dengan sukacitanya melancarkan laporan Women’s Aid Organisation (WAO) Working Together: Case Studies In Domestic Violence Response, 2015 Report”.

 

Sekian, terima kasih.



«  Back