News

Welcome address by WAO Vice­President, Tashia Peterson

Posted on 23 June 2015
 

 

 

 

 

TEKS UCAPAN

TASHIA PETERSON, NAIB PRESIDEN WAO

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN LAPORAN WOMEN’S AID ORGANISATION (WAO)WORKING TOGETHER: CASE STUDIES IN DOMESTIC VIOLENCE RESPONSE, 2015 REPORT

ANJURAN PERTUBUHAN PERTOLONGAN WANITA (WAO)

PADA 23 JUN 2015 (SELASA)

DI BLACK & BLUE BRIDGE, PUBLIKA

JALAN DUTAMAS 1, HARTAMAS HEIGHTS, 50480 KUALA LUMPUR

 

Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Rakan-rakan WAO. Serta tuan puan dan hadirin yang dihormati sekalian

 

Selamat datang dan terima kasih kerana menyertai kami pada hari ini bagi melancarkan laporan WAO 2015 dan pameran seni (Can you keep a secret)? Fokus utama bagi kedua-dua acara ini adalah untuk kami mengetengahkan isu kritikal keganasan rumah tangga. Kami ingin meningkatkan kesedaran dan bersama-sama berganding bahu untuk memberikan respon dengan segera dan efektif dalam menangani isu keganasan rumah tangga.

 

Sejak dari tahun 1982, WAO telah membuka pintu kepada wanita-wanita dalam krisis khususnya yang mengalami keganasan rumah tangga. WAO percaya bahawa tiada sesiapa yang patut didera. Kami turut memperjuangkan hak sama rata bagi wanita dan berusaha ke arah penghapusan diskriminasi terhadap wanita.

 

Perkhidmatan yang disediakan oleh WAO kepada mangsa-mangsa keganasan rumahtangga termasuk perlindungan, kaunseling dan sokongan. Kerja kami juga meliputi advokasi, yang diteguhkan oleh pengalaman dan testimoni daripada wanita-wanita yang kami bantu. Bagaimana mangsa keganasan rumah tangga boleh mendapatkan sokongan, mendapatkan perlindungan, membina dan menuntut semula kehidupan mereka – bagaimana mereka dilayan – bagaimana isu ini dilihat oleh penyedia perkhidmatan ­– ini adalah antara faktor-faktor utama yang boleh mempengaruhi keselamatan mangsa dan kepercayaannya bahawa dia berhak untuk hidup bebas daripada keganasan.

 

Dalam laporan WAO ini, kami menceritakan pengalaman wanita-wanita dari saat mereka memulakan perjalanan untuk mencari perlindungan dan keselamatan. Adalah sangat penting untuk kita mendengar dengan teliti cerita-cerita mereka ini.

 

Kami berharap anda sudi mendengar ‘suara-suara’ ini dan bersama-sama kita dapat merealisasikan harapan untuk memberi tindak balas dan sokongan yang sewajarnya, serta membawa isu ini ke tahap yang seterusnya.

 

Isu keganasan rumah tangga tidak seharusnya dipandang remeh sebagai hanya satu isu biasa dalam keluarga, atau hanya satu isu domestik. Keganasan rumah tangga adalah jenayah. Tindakan yang bertentangan dengan undang-undang negara. Semua rakyat di Malaysia mempunyai hak untuk hidup bebas daripada keganasan dan diskriminasi.

 

Seterusnya, pameran seni "Can you keep a secret?” adalah lanjutan daripada panggilan dan seruan kami supaya setiap ahli masyarakat mendengar, memahami dan menyedari bahawa kita berhadapan dengan realiti keganasan rumahtangga. Jika masyarakat memahami bahawa keganasan rumahtangga adalah salah, mangsa-mangsa akan diperkasakan untuk menghadapi keluarga, masyarakat dan sistem yang diwujudkan bagi melindungi mereka. Pameran ini menyeru orang ramai supaya mengambil langkah dan lakukan sesuatu apabila berhadapan dengan situasi keganasan terhadap wanita. Ini adalah masa untuk kita bertindak.

 

Kedua-dua projek (laporan dan pameran seni) dapat diadakan dan dijalankan atas sokongan, kerja keras dan dedikasi ramai pihak. WAO ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada:

- Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani atas kesudian beliau melancarkan laporan dan pameran seni kami hari ini. Kehadiran beliau menunjukkan komitmen Kementerian dalam membanteras keganasan rumahtangga.

- Datuk Paul Low Seng Kuan yang telah membantu dalam penerbitan laporan ini dan menyokong kerja kami dalam membanteras diskriminasi terhadap wanita.

- Brickfields Asia College yang juga telah membantu dalam penerbitan laporan ini.

- James Seet, artis yang berkongsi idea dan konsep pameran ini, serta sudi membantu untuk mengetengahkan isu penting ini. Terima kasih atas dedikasi dan komitmen yang telah diberikan. Kami turut menghargai sokongan Leo Burnett / Arc Worldwide dalam merealisasikan idea ini.

- Publika yang telah dengan murah hati membenarkan kami mengunakan ruang mereka. Diharapkan pameran di sini dapat mendedahkan isu ini dengan lebih luas.

- Kakitangan dan EXCO WAO yang telah bekerja keras untuk memastikan kedua-dua acara ini berjalan dengan lancar. Kakitangan di bawah kepimpinan Pengarah Eksekutif kami, Sumitra, yang terus berusaha memastikan perkhidmatan kami lebih berkesan dan efektif.

- Dan yang paling penting, kepada semua wanita-wanita yang telah sudi berkongsi pengalaman mereka dengan kami. Meraka tidak pernah putus asa dan terus berusaha untuk membina kehidupan baru.

 

Kami berharap agar pada hari ini, masyarakat awam dan pihak kerajaan dapat bersama-sama memastikan apa yang kita lakukan adalah memadai dan berkesan. Tajuk laporan WAO – “Bekerjasama” (Working Together) adalah panggilan penting bagi kita semua untuk berganding bahu merealisasikan matlamat menghapuskan keganasan rumah tangga.

 

Terima kasih.



«  Back