News

Presentation of the Working Together: Case Studies in Domestic Violence Response, 2015 Report, by Sumitra Visvanathan, WAO Executive Director

Posted on 23 June 2015
 

 

 

 

TEKS UCAPAN

SUMITRA VISVANATHAN, PENGARAH EKSEKUTIF WAO

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN LAPORAN WOMEN’S AID ORGANISATION (WAO)WORKING TOGETHER: CASE STUDIES IN DOMESTIC VIOLENCE RESPONSE, 2015 REPORT

ANJURAN PERTUBUHAN PERTOLONGAN WANITA (WAO)

PADA 23 JUN 2015 (SELASA)

DI BLACK & BLUE BRIDGE, PUBLIKA

JALAN DUTAMAS 1, HARTAMAS HEIGHTS, 50480 KUALA LUMPUR

 

Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tashia Peterson, Naib-Presiden Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), rakan-rakan NGO, ahli-ahli akademik, wakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), wakil-wakil daripada agensi-agensi kerajaan, ahli-ahli media, dan para hadirin sekalian.

 

Anda mungkin tidak mengenali wanita-wanita yang telah berkongsi pengalaman dalam laporan kami ini. Tetapi kemungkinan besar, anda kenal seseorang yang serupa pengalamannya. Dia mungkin dalam bulatan sosial anda, atau mungkin juga dalam kalangan jiran-jiran atau rakan sekerja anda. Anda mungkin tidak mengetahui masalah keganasan rumah tangganya. Pada kebiasaannya, keganasaan rumah tangga berlaku secara tertutup. Dalam situasi ini, seorang wanita memerlukan kekuatan dan keberanian untuk meminta pertolongan atau melarikan diri daripada keganasan.

 

Inilah peringkat di mana WAO menghulurkan bantuan. Kami di WAO mengerti perjuangan wanita yang mengharungi keganasan rumah tangga. Kami telah melihat kesan-kesan keganasan rumah tangga terhadap wanita dan kanak-kanak yang terpaksa hidup dalam ketakutan dalam rumah sendiri. Kami telah mendengar ribuan testimoni selama 33 tahun. Mengikut kajian, sembilan peratus daripada wanita yang pernah berada dalam hubungan di Malaysia, telah atau sedang berada dalam situasi keganasan rumah tangga. Realiti ini amat perit dan menyedihkan.

 

Tahun ini menandakan 33 tahun sejak WAO menubuhkan pusat perlindungan pertama di Malaysia bagi mangsa keganasan rumah tangga dan anak-anak mereka. Kami mempunyai pengalaman lebih daripada tiga dekad dalam usaha melindungi wanita dan kanak-kanak mereka daripada keganasan rumah tangga. Ini adalah sejajar dengan matlamat dan misi kami untuk mencapai kesamarataan gender dan seterusnya memperkasakan wanita untuk terus maju, selamat dan bebas dari sebarang unsur penindasan. Kami menyediakan tempat perlindungan yang selamat bagi wanita yang enggan hidup dalam ketakutan diserang oleh pasangan mereka sendiri dalam rumah mereka sendiri. Kami telah membina persekitaran yang selamat di mana wanita tidak perlu takut akan hukuman, stigma atau diskriminasi dari mana-mana pihak. Kami juga mempunyai talian bantuan (Hotline) di mana wanita dapat meluahkan segala kebimbangan dan risiko yang mereka hadapi. Kemudian, mereka diberi nasihat, panduan dan sokongan sewajarnya. Kami juga turut menyediakan perkhidmatan kaunseling, membantu wanita mendapatkan akses terhadap keadilan, perlindungan, dan kesihatan. Seperti rakan-rakan kami, antaranya pihak polis, pihak kebajikan, OSCC, kita semua berada di barisan paling hadapan dalam memberi respons terhadap keganasan rumah tangga bagi wanita dan anak-anak mereka.

 

Hari ini, kami melancarkan laporan kajian berdasarkan kes-kes sebenar yang dikendalikan pada tahun 2014 oleh WAO, the Women’s Centre for Change di Pulau Pinang, Perak Women for Women Society dan Rose Virginie Good Shepherd Home. Laporan kajian kes ini adalah dokumen penting dalam membangkitkan suara wanita yang sebelum ini mungkin tidak kedengaran – laporan ini juga mengandungi testimoni mereka dalam usaha mendapatkan keadilan dan perlindungan sepanjang tahun 2014. Laporan kami boleh dilihat sebagai satu landasan untuk berganding bahu bagi memastikan mangsa keganasan diberi sokongan dan keadilan. Sebahagian daripada laporan ini meliputi pengalaman di mana keadilan dan perlindungan diberi dengan sewajarnya menerusi tindakan undang-undang dan sebagainya. Perlindungan wanita dan anak-anak membawa kepada pembasmian keganasan. Dengan ini, barulah proses penyembuhan dan pemulihan boleh bermula. Laporan ini turut menunjukkan beberapa jurang, kelemahan sistem dan cabaran yang dihadapi oleh mangsa dalam proses mendapatkan perlindungan.

Cabaran paling besar yang dihadapi adalah apabila tindak balas yang diberikan oleh pihak berkuasa tidak konsisten atau bertentangan dengan apa yang telah ditetapkan oleh undang-undang dan dasar kerajaan. Melalui laporan ini, kami berharap untuk meningkatkan kesedaran dan menyeru semua pihak berkepentingan untuk bekerjasama menempuhi cabaran-cabaran ini. Kita perlu memastikan tiada jurang dalam pelaksanaan undang-undang, dan tiada seorang pun wanita atau kanak-kanak yang tidak mendapat perlindungan apabila berhadapan dengan keganasan rumah tangga. Inilah salah satu sebab judul laporan ini bertajuk Working together. Kita semua terlibat secara mendalam untuk bersama-sama mengatasi cabaran ini.

 

Satu tema penting yang turut diketengahkan dalam laporan ini adalah keperluan memberikan wanita alternatif bermakna kepada keadaan mereka yang seadanya. Tempat selamat amat kritikal bagi memastikan keselamatan fizikal dan mental mangsa. Melalui perkhidmatan perlindungan kami, WAO membantu wanita terus bertahan dan berkembang maju. Tempat perlindungan kami memberikan sokongan krisis sebagai perkhidmatan kecemasan, serta pusat penjagaan kanak-kanak sementara wanita belajar hidup berdikari dan hidup bebas daripada keganasan. WAO menyokong proses pemulihan dan pemerkasaan wanita untuk memastikan mereka dapat meneruskan hidup dengan lebih selamat, terjamin, produktif dan sihat.

 

Pusat perlindungan kami sering melebihi kapasiti. Dalam tahun lepas, kami memberi perlindungan kepada 300 wanita dan kanak-kanak. Lebih ramai lagi menghubungi kami untuk meminta perlindungan. Sejak beberapa tahun lepas, kami bukan sahaja memberi perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga, tetapi juga kepada pekerja-pekerja domestik yang didera, mangsa-mangsa pemerdagangan manusia dan wanita-wanita lain yang ditimpa keganasan. Terdapat keperluan kritikal untuk menubuhkan pusat-pusat perlindungan di seluruh negara. WAO dengan ini ingin menyeru semua pihak berkepentingan untuk menyedari keperluan menyediakan tempat perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga, dan bersama-sama memberi tindak balas segera.

 

Kita semua berkongsi tanggungjawab memastikan pembangunan rakyat dan negara kearah positif. Budaya kerjasama harus disokong untuk menggalakkan perkongsian pengalaman mangsa-mangsa bagi menengahkan isu-isu mereka. Keutamaan harus diberikan demi memastikan hak-hak wanita dibela dan bersesuaian dengan arus perdana undang-undang, masyarakat dan kerajaan.

 

Kebebasan daripada ketakutan disebabkan keganasan adalah hak asasi manusia. Obligasi untuk campur tangan bagi melindungi seseorang daripada keganasan merupakan obligasi moral asas bagi setiap anggota masyarakat. Kewajipan ini melangkaui bangsa, agama dan perbezaan budaya. Ini bukan sesuatu yang di luar kemampuan kita sebagai negara, masyarakat atau individu. Kita ingin melihat negara kita menjadi sebuah negara bebas daripada segala bentuk keganasan terhadap wanita.

 

Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Women’s Center for Change, Perak Women for Women Society dan Rose Virginie Good Shepherd Society, kerana berkongsi pengalaman wanita-wanita di bawah jagaan mereka pada tahun 2014. Saya juga ingin memberi penghargaan kepada rakan kongsi kami, Yayasan Sime Darby yang telah memberi sokongan pembiayaan pusat perlindungan WAO. Tanpa sokongan mereka, kami pasti tidak mampu mengendalikan rumah perlindungan dan menjalankan perkhidmatan krisis bagi wanita-wanita ini. Akhir sekali, saya ingin merakamkan penghargaan terhadap hasil kerja bekas rakan sekerja kami, Siti Hazwani Hanim Ramli, yang telah merekod, mengfail dan menulis kajian kes yang terkandung dalam laporan ini. Laporan ini tidak mungkin dapat dihasilkan tanpa kemahiran, dedikasi dan komitmen beliau yang berterusan dan akan berterusan.

 

 

Sekian, saya akhiri dengan ucapan terima kasih.



«  Back