News

“Wake Up To A Good Cause” - Fokus kepada membasmi keganasan terhadap wanita

Posted on 07 March 2015
 

 Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

 

Wake Up To A Good Cause” - Fokus kepada membasmi keganasan terhadap wanita

Kenyataan akhbar, 7 Mac 2015

 

Untuk maklumat lanjut: Siti Hazwani, hazwani.wao@gmail.com

 

Sepanjang bulan Mac dan April, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) bersama Marie Claire telah bekerjasama untuk menjalankan satu kempen media sosial, "Marie Claire Wake Up To A Good Cause".

 

Kempen ini bertujuan untuk menyebarkan kesedaran tentang keganasan terhadap wanita dan mengumpul dana untuk membantu WAO menyediakan perkhidmatan penting bagi mangsa keganasan rumah tangga. Untuk setiap “selfie” gambar bangun tidur yang dimuat naik ke Instagram atau Twitter menggunakan #marieclairemalaysia hashtags dan #mcwakeup2agoodcause, Marie Claire akan menderma RM10 kepada WAO.

 

Kami amat terharu atas sokongan yang telah ditunjukkan terhadap kempen ini, yang diketuai oleh segolongan wanita yang terkemuka.

 

Malangnya, ada segelintir orang yang memilih untuk mengabaikan mesej utama kempen ini dan sebaliknya telah menggunakan kempen ini untuk mencaci wanita. Khususnya, kami amat terganggu dengan serangan berunsur misoginistik terhadap Dyana Sofya, yang turut menyumbang gambar dirinya untuk kempen ini. Beliau dituduh mengeksploitasi badannya demi mengutip derma.

 

Keganasan terhadap wanita adalah isu hak asasi manusia dan kempen ini menyeru wanita dan lelaki untuk memulakan hari mereka dengan menyokong satu usaha yang bermanfaat dan untuk menunjukkan sokongan ini melalui kempen kami.

 

Hakikatnya, mereka yang mengecam Dyana Sofya membuat demikian kerana merekalah yang sudah biasa menjadikan wanita sebagai objek dan bahan seksual. Golongan ini tidak melihat wanita sebagai manusia yang setaraf dengan lelaki. Sikap inilah yang menjadi punca keganasan terhadap wanita diterima dalam masyarakat kita.

 

Kami menyeru semua pihak untuk memberi fokus kepada matlamat kempen ini, iaitu untuk menyokong usaha WAO menyediakan tempat selamat sementara, kaunseling, dan perkhidmatan kerja sosial kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga.

 

Anda boleh menyumbang dengan mengambil selfie bangun pagi, dan memuat naikkannya ke Twitter atau Instagram menggunakan hashtag #marieclairemalaysia dan #mcwakeup2agoodcause.

 

###



«  Back