News

Filem pendek Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) diterima untuk ditayangkan di pesta filem hak asasi manusia terbesar di dunia

Posted on 27 February 2015
 

 

Filem pendek Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) diterima untuk ditayangkan di pesta filem hak asasi manusia terbesar di dunia

 

Siaran akhbar, 26 Februari 2015

 

Filem pendek Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Mangsa Bangkit Bersuara: Keganasan Rumah Tangga di Malaysia (“Survivor’s Speak Up: Domestic Violence in Malaysia”), telah diterima untuk ditayangkan di pesta filem dokumentari antarabangsa One World 2015. Dianjurkan buat tahun ke-17, pesta ini adalah pesta filem hak asasi manusia terbesar di dunia.

Filem 18-minit WAO ini mengisahkan pengalaman tiga wanita Malaysia yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Wanita-wanita ini serta keluarga mereka telah mengalami penderaan selama bertahun-tahun, sehingga satu hari, mereka mengambil keputusan untuk bersuara.

Sally Wangsawijaya daripada Pertubuhan Pertolongan Wanita berkata, “Keganasan rumah tangga tidak mengenal sempadan. Oleh itu, kami begitu gembira mendapat tahu bahawa filem ini telah dipilih bagi acara terkemuka dan antarabangsa ini.”

“Cerita-cerita dalam video ini memberi gambaran kepada penonton bagaimana sebenarnya pengalaman menjadi mangsa. Video ini menghantar mesej bahawa perjuangan menentang keganasan rumah tangga adalah usaha seluruh masyarakat,” tambah Wangsawijaya.

Filem ini menunjukkan bahawa kes-kes keganasan rumah tangga sering tersembunyi dan boleh diabaikan atau kekal tanpa penyelesaian, disebabkan agensi penguatkuasa tidak bertindak. Filem ini juga menunjukkan bahawa apabila tindakan diambil, wanita-wanita dalam krisis boleh mendapat perlindungan.

Mangsa Bangkit Bersuara sebelum ini telah dipilih untuk ditayangkan di Freedom Film Festival di Malaysia, anjuran Pusat KOMAS yang merupakan rakan kongsi tempatan One World.

Pelbagai topik yang berkaitan dengan hak asasi manusia diketengahkan oleh One World 2015, termasuk kesihatan mental, pendidikan, keadilan alam sekitar, dan bukti pelanggaran hak asasi manusia, antara yang lain.

Pesta ini akan mengambil tempat di Prague dari 2hb hingga 11hb Mac 2015, dan kemudiannya di 33 bandar lain di Czech Republic.

 

 Filem Mangsa Bangkit Bersuara boleh ditontoni di: www.youtube.com/watch?v=SvoK75WzHHY.

###

 

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menyediakan perkhidmatan rumah perlindungan, bantuan sosial dan kaunseling untuk mangsa-mangsa keganasan rumah tangga serta mengadvokasikan hak asasi wanita. Hubungi talian bantuan kami di 03 7956 3488 jika anda atau seseorang yang anda kenali mengalami penderaan, atau SMS TINA di 018 988 8058 untuk berbincang dengan seorang rakan. Bersama-sama, kita mengubah kehidupan.



«  Back