News

Tolak seksisme dalam politik

Posted on 28 May 2014
 

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) 

Tolak seksisme dalam politik

Surat kepada penyunting bagi penerbitan segera, 27 Mei 2014

 

 

Untuk maklumat lanjut, hubungi: 

Yu Ren Chung, Pegawai Advokasi

renchung.wao@gmail.com

 

 

Belum lagi Dyana Sofya dicalonkan secara rasmi sebagai calon DAP bagi Pilihanraya Kecil di Teluk Intan, gambar seorang gadis berbikini yang didakwa merupakan dirinya mula tersebar di internet. Sejak gambar tersebut muncul, Dyana bukan sahaja telah diberikan gelaran “gula-gula murahan” oleh pertubuhan berfahaman ekstrim ISMA, tetapi juga dijadikan bahan usikan di kalangan penyokongnya sendiri.

 

Politik bersifat seksis dan misoginistik

 

Serangan yang dikenakan terhadap Dyana berpunca daripada seksisme dan misogini yang tidak asing di kalangan ahli-ahli politik wanita lain di negara ini.

 

Sekitar waktu Pilihanraya Umum ke-13 pada tahun lalu, risalah bertulis “Andainya awak terpaksa menyusukan anak, ke mana kami ingin mengadu?” telah diedarkan di Kulai bagi menekan-nekan Teo Nie Ching, seorang calon wanita.

 

Tentunya, ramai wanita diyakini kurang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang politik disebabkan unsur seksisme yang masih menebal dalam politik di negara ini. Lebih menyedihkan, ramai wanita telah secara aktif dinafikan peluang untuk bertanding.

 

Pada tahun lepas, 40% daripada calon pilihanraya yang diperkenalkan oleh PAS Pahang merupakan muka-muka baru. Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada mereka ini merupakan calon wanita. Apabila dipersoalkan, PAS menyatakan bahawa wanita “mempunyai kerja dan komitmen-komitmen lain.”

 

Hakikatnya, ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Di Malaysia, jumlah wakil rakyat wanita sama ada pada peringkat negeri ataupun kebangsaan berada pada tahap yang amat-amat membimbangkan.  Berdasarkan analisis yang dibuat oleh NGO Empower, hanya 10 peratus Ahli Parlimen dan 11 peratus Ahli Dewan Undangan Negeri di negara ini terdiri daripada wanita.

 

Malaysia bukanlah satu-satunya negara di dunia yang menghadapi masalah seksisme dalam politik. Namun begitu, masalah ini tetap perlu dilihat sebagai satu perkara yang serius khususnya di Malaysia.  Laporan Jurang Gender Global 2013 yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia telah menyebut bahawa Malaysia berada pada tangga ke-110 dalam carta peratusan perwakilan wanita di parlimen antara 132 buah negara yang dikaji.

 

Menghapuskan seksisme

 

Bagaimanakah caranya untuk menghentikan seksisme di arena politik? Pertamanya, kesemua ahli politik dan penyokong-penyokong mereka perlu menghentikan sebarang bentuk serangan berdasarkan perbezaan gender ke atas lawan mereka, sama ada yang dilakukan secara langsung ataupun tidak langsung. Pemimpin perlu menentang keras sebarang bentuk tindakan berbaur seksis yang ditonjolkan oleh ahli-ahli parti atau penyokong-penyokong mereka tanpa ragu-ragu bagi menunjukkan tindakan sedemikian tidak boleh diterima.

 

Namun begitu, cara terbaik untuk menghapuskan seksisme dalam dunia politik Malaysia adalah dengan melantik lebih ramai wanita sebagai wakil rakyat.

 

Pada tahun 1993, India telah meminda perlembagaan mereka untuk memastikan satu pertiga daripada kesemua ketua majlis perkampungan di negara tersebut terdiri daripada kaum wanita. Berdasarkan pindaan tersebut, hanya individu wanita dibenarkan untuk mengetuai majlis perwakilan yang dibentuk di kampung-kampung yang telah ditentukan. Kajian yang dibuat oleh Poverty Action Lab di Institut Teknologi Massachusetts (MIT)  telah menunjukkan bahawa situasi ini telah mengubah pandangan penduduk kampung yang terbabit terhadap pemimpin wanita.

 

Kajian ini telah mendapati bahawa “pendedahan berterusan terhadap pemimpin perempuan telah mengubah pandangan penduduk kampung terhadap tahap pencapaian yang boleh dicapai oleh kaum wanita dan menukar tanggapan mereka yang wanita seharusnya hanya melakukan kerja-kerja rumah tangga,” dan “ kehadiran pemimpin wanita di kampung telah meluaskan lagi skop aspirasi dan keyakinan ibu bapa terhadap anak perempuan mereka dan aspirasi perempuan sendiri.”

 

Secara ringkasnya, semakin ramai wanita memegang jawatan pemimpin dalam kancah politik, semakin ramai pihak bakal terdedah dengan pemimpin wanita, dan seterusnya semakin ramai pihak akan menerima dan melayan wanita sebagai pemimpin.

 

Untuk melantik lebih ramai wanita secara wakil rakyat, parti-parti politik hanya perlu memilih lebih ramai wanita sebagai calon. Kajian menunjukkan bahawa mencalonkan wanita tidak menambahkan risiko, malah dapat meningkatkan peluang kemenangan.

 

Sebuah analisis yang dibuat oleh Bridget Welsh, seorang Profesor Madya dalam bidang Sains Politik di University Pengurusan Singapura telah mendapati bahawa calon-calon wanita dalam Pilihanraya Umum ke-13, pada keseluruhannya telah memperoleh majoriti kemenangan yang lebih besar berbanding calon-calon lelaki, walaupun tanpa mengira kemenangan besar Teresa Kok.

 

Jumlah perwakilan wanita yang rendah di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bukan kerana wanita sering kalah. Sebaliknya, wanita cuma tidak diberikan peluang yang secukupnya untuk bertanding.

 

Kita seharusnya menghentikan seksisme dan misogini dalam politik agar wanita-wanita seperti Dyana Sofya tidak lagi menghadapi diskriminasi berdasarkan gender, tetapi dinilai berdasarkan kemampuan mereka sebagai pemimpin.

 

 

 

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menyediakan perkhidmatan kaunseling dan bantuan kerja-kerja sosial kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dan memperjuangkan hak-hak asasi wanita. Hubungi kami di 03 7956 3488 ataupun SMS TINA di 018 988 8058 andainya anda ataupun sesiapa yang anda kenali menghadapi keganasan.



«  Back