News

Renungan Hari Valentine – Apabila Cinta itu Membunuh

Posted on 14 February 2014
 
 
Hari ini merupakan Hari Valentine. Sesiapa sahaja yang melawat laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter, ataupun Instagram pastinya akan teruja melihat ucapan-ucapan cinta kepada yang tersayang, gambar-gambar bunga, pasangan bergaya mesra dan sebagainya yang berkaitan dengan sambutan pesta cinta ini.
 
Sempena Hari Valentine tahun ini, kami di Pertubuhan Pertolongan Wanita, ingin mendedikasikan salam cinta kami kepada wanita yang andainya masih bernafas pada hari ini, pastinya akan mengucapkan “Selamat Hari Valentine” kepada insan-insan yang dicintai. Kesemua wanita pastinya akan mengucapkan salam cinta mereka, andainya tidak terjatuh ke dalam perangkap keganasan rumah tangga yang telah mengambil nyawa mereka. Sayangnya, mereka adalah mangsa ikatan cinta mereka; nyawa mereka melayang kerana pasangan mereka sendiri.
 
Jadikanlah saat ini waktu untuk bertafakur dan merenung mengenai pemergian mereka yang terkorban dalam kemelut keganasan rumah tangga. Kami baru sahaja dikejutkan dengan berita pemergian seorang lagi mangsa keganasan rumah tangga berumur 37 tahun di Johor Bahru beberapa hari sebelum jatuhnya Hari Valentine ini. Mangsa telah ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan lehernya dikelar oleh suaminya sendiri selepas satu pergaduhan dilaporkan berlaku. Kes ini bukan kes terpencil. Sekitar bulan lepas, seorang lelaki di Batu Caves telah didapati mencederakan wajah isterinya dengan pisau poket semata-mata setelah isterinya gagal mengikuti arahannya untuk tidak melawat ibunya. Selain itu, atas alasan yang sama, seorang lagi suami yang dirasuk kemarahan telah menyerang dan mencederakan isterinya yang berusia 25 tahun dengan sebilah pedang samurai. Hakikatnya, pada tahun lepas sahaja, tiga kes pembunuhan berkaitan keganasan rumah tangga telah dilaporkan.
 
Mangsa keganasan rumah tangga tidak hidup dalam pelukan cinta setiap hari, tetapi dalam cengkaman ketakutan. Dan manifestasi keganasan rumah tangga yang paling tragis adalah pembunuhan oleh pasangan intim. Apabila keganasan rumah tangga berakhir dengan kematian, ia mewakili kegagalan masyarakat untuk memandang serius keganasan rumah tangga yang berpotensi untuk membawa maut.
 
Pembunuhan yang berkaitan dengan keganasan rumah tangga boleh dikesan lebih awal dan dicegah. Di Amerika Syarikat, hampir satu pertiga mangsa keganasan rumah tangga yang pernah direkodkan telah terkorban dalam pergelutan bersama pasangan hidup mereka. Dalam 70-80% kes pembunuhan yang berlaku, kebanyakan mangsa sudahpun mempunyai rekod deraan. Kes-kes yang pernah diuruskan oleh WAO juga membuktikan perkara yang sama. Kita perlu mendapatkan maklumat mengenai kekerapan kes-kes pembunuhan yang membabitkan keganasan rumah tangga di Malaysia dan memastikan kerajaan menerbitkan data statistik berkaitan secepat mungkin.
 
Kita perlu bertanya kepada diri sendiri: adakah tanda-tanda amaran sudahpun jelas terbentang di hadapan kita? Apakah tindakan telah diambil oleh pihak polis setelah laporan dibuat? Apakah bentuk perlindungan yang telah diberikan kepada wanita? Adakah kita telah melakukan tindakan yang mencukupi bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku? Semuanya sebenarnya mudah, perkhidmatan perlindungan dan perundangan perlu dipertingkatkan dan pembunuhan berkaitan keganasan rumah tangga pastinya akan berkurangan sebagai kesan.
 
Hari ini bukan sekadar Hari Valentine. Hari ini juga merupakan Hari V ataupun V-Day, hari yang mana aktivis sedunia menggerakkan kempen menentang keganasan ke atas wanita. Ialah sesuai apabila kita meraikan kehadiran cinta, kita juga perlu memberikan pengiktirafan kepada mereka yang terkorban atas nama cinta. Selamat Hari Valentine.
 
Oleh Sally Wangsawijaya, Pegawai Advokasi, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)


«  Back