News

Anugerah mengajuk anjuran JAG yang mengetengahkan isu seksisme, misoginisme, homofobia, dan transfobia mendapat pengiktirafan antarabangsa

Posted on 29 January 2014
 

Anugerah mengajuk anjuran JAG yang mengetengahkan isu seksisme, misoginisme, homofobia, dan transfobia mendapat pengiktirafan antarabangsa

29 Januari 2014

 

PETALING JAYA – Anugerah bersifat mengajuk anjuran Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG), Anugerah“Aiyoh… Wat Lah?!” telah diumumkan sebagai pemenang bagi pertandingan antarabangsa, End Gender Discrimination Now!

“Kami amat gembira apabila diberitahu bahawa Anugerah Aiyoh… Wat Lah?! telah menerima pengiktirafan antarabangsa,” kata Yu Ren Chung, wakil Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), salah satu daripada sembilan organisasi yang membentuk JAG.

“Pengiktirafan antarabangsa ini akan menaikkan lagi kedudukan anugerah ini yang sudahpun boleh dikatakan popular, dan juga meningkatkan lagi kesedaran masyarakat berkenaan isu berkaitan seksisme, misoginisme (kebencian terhadap wanita), homofobia, dan transfobia di Malaysia.”

Daripada 250 penyertaan yang diterima dari 63 buah negara, tiga pemenang telah dipilih. Pihak penganjur memberitahu bahawa Anugerah Aiyoh… Wat Lah?! memenangi Hadiah GenTruth disebabkan “keberanian yang ditonjolkannya dalam menekankan isu berkaitan pelbagai bentuk diskriminasi gender yang dilihat semakin berkembang dalam masyarakat.”

Pengacara Anugerah Aiyoh... Wat Lah?! Ribena Berry berkata, “Tahniah JAG! Anda telah memenangi anugerah. Bagaimanapun saya pasti kamu mengharapkan satu hari nanti, kita tidak lagi perlu menganjurkan Anugerah Aiyoh… Wat Lah?!.”

Ribena Berry merupakan individu rekaan pelakon Jo Kukathas.

 

Ribena Berry di Anugerah Aiyoh... Wat Lah?! 2013

 

Anugerah End Gender Discrimination Now! telah dianjurkan bersama oleh Gender at WorkAssociation for Women’s Rights in Development(AWID), BRIDGE (Institute of Development Studies), dan Facultad Latinoamericana de Ciencias Sociales (FLASCO) Argentina.

Anugerah Aiyoh… Wat Lah?! yang dianjurkan sejak tahun 2012 bakal dianjurkan buat kali ketiga pada tahun ini bagi “mengiktiraf” kenyataan dan tindakan yang paling bersifat seksis, misoginistik, homofobik, dan transfobik sepanjang tahun 2013.

Anugerah ini mengajuk kenyataan dan tindakan, bukannya individu dan institusi. Terdapat tujuh anugerah yang dipertandingkan: “Foot in Mouth,” “Insulting Intelligence,” “Policy Fail,” “Cannot Ignore,” “Least Helpful to the Sisterhood,” “Enough Already,” dan “Right on Track.”

“Kami mempunyai senarai pemenang yang benar-benar layak bagi anugerah yang dianjurkan pada tahun lepas,” ucap Ratna Osman, wakil daripada Sisters in Islam (SIS).

“Sebagai contoh, bagi Anugerah Cannot Ignore, Zamani Abdul Rahim, hakim Mahkamah Tinggi, telahpun mendapat undian tertinggi untuk kenyataannya yang menyebut bahawa wanita mempunyai kecenderungan untuk memperbesar-besarkan kejadian berbentuk seksual.”

Hakim tersebut dilaporkan membuat kenyataan sedemikian ketika membatalkan kesabitan terhadap seorang penjaga pusat yang dituduh merogol seorang kanak-kanak berusia empat tahun.

“Calon-calon penerima anugerah bagi tahun 2014 bakal diumumkan sekitar Mac. Masyarakat dipersilakan sekali lagi untuk mengundi dalam kesemua tujuh kategori yang bakal diadakan,” Lee Wei San, wakil daripada All Women’s Action Society (AWAM) memberitahu. Anugerah tahun ini bakal merangkumi kenyataan umum dan polisi yang telah dibuat sepanjang tahun 2013.

“Malangnya, kita masih lagi mempunyai ramai calon yang layak bertanding. Anugerah 2014 tentunya bakal kami semua nantikan.”

 

Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) dianggotai oleh:

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

All Women’s Action Society (AWAM)

Sisters in Islam (SIS)

Women’s Centre for Change (WCC Penang)

Perak Women for Women Society (PWW)

Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)

Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)

Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO)

Tenaganita



«  Back