News

Satu lagi Kematian Keganasan Rumah Tangga

Posted on 04 November 2013
 

Lagi Terkorban Akibat Keganasan Rumah Tangga- Adakah Kita Gagal Mengesan Tanda-Tandanya?

 
Surat kepada Penyunting
4 November 2013
 
Dengan penuh dukacitanya, kami telah dimaklumkan bahawa satu lagi kes kematian berkaitan keganasan rumah tangga telah dilaporkan melalui akhbar harian The Star pada hari Isnin 28 Oktober 2013. Seorang wanita telah ditemui mati setelah ditikam dengan kejam oleh suaminya sendiri. Ini merupakan kejadian keempat bagi kes pembunuhan isteri yang telah dilaporkan berlaku pada tahun ini. Ini juga cuma mengambil kira kes-kes yang telah dilaporkan; banyak lagi kes keganasan rumah tangga yang telah membawa kepada kematian mungkin telah berlaku tanpa diketahui.
 
Kematian Nur Hidayah A. Ghani, Vivian Biding Camarota, dan Lai Siew Fong masih lagi segar di minda semua. Pada minggu ini, kami telah dimaklumkan pula mengenai kematian Murugal Kuppusamy yang telah ditikam sehingga mati oleh suaminya yang mabuk dan menuduhnya menjalinkan hubungan sulit. Dalam kesemua kes yang disebut, keganasan merupakan satu perkara biasa yang dikesan berlaku dalam keluarga-keluarga mangsa. Sebagai contoh, anak pertama mendiang Murugal Kuppusamy telah melaporkan bahawa bapanya merupakan seorang yang ganas dan telah banyak kali mencederakan ibunya. Kejadian yang telah membawa kepada kematian ibunya telah berlaku hanya selepas dua minggu bapanya dilepaskan dari penjara. 
 
Setelah kami mengkaji kesemua kes berkaitan, kami tidak dapat lari daripada memikirkan pelbagai jenis persoalan. Adakah kita telah gagal mengesan tanda-tanda keganasan rumah tangga selama ini? Adakah selama ini Murugal sedar yang dirinya telah menjadi mangsa penderaan? Adakah Murugal sedar yang keganasan rumah tangga merupakan satu bentuk jenayah? Sudah berapa lamakah dirinya bertahan hidup dalam penderitaan? Adakah dirinya pernah mengalami sebarang kecederaan teruk yang memerlukan dirinya dibawa ke hospital? Jika pernah, adakah dia pernah ditanya bagaimana dia telah mengalami kecederaan yang sedang dialaminya dan diperkenalkan kepada mana-mana pekerja sosial? Adakah mendiang tahu yang dia boleh mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan?
 
Pernahkah Murugal membuat sebarang laporan polis? Pernahkah jiran-jirannya melaporkan keganasan suaminya kepada pihak berkuasa? Pernahkah Murugal dimaklumkan haknya untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO), ataupun arahan mahkamah lain bagi melarang pesalah daripada mengulangi kesalahan yang sama? Jika mangsa pernah diberikan IPO, adakah IPO itu disampaikan kepada suaminya? Jika pernah, adakah suaminya itu masih lagi terus mendera mangsa? Apakah tindakan yang pernah diambil ke atas suaminya? Adakah dia pernah dipenjarakan? Adakah si isteri telah dimaklumkan yang suaminya telah dibebaskan? Adakah terdapat sebarang penilaian risiko dibuat sebelum suami mangsa dibebaskan? Adakah terdapat sebarang bentuk rundingan mengenai kemungkinan tindak-tanduknya perlu diperhatikan kerana disyaki boleh membahayakan keluarga atau sesiapa sahaja ahli masyarakat? Adakah program kesedaran berkaitan keganasan domestik untuk masyarakat secara amnya wujud?
 
Antara persoalan yang perlu dibangkitkan dalam membuat penilaian pada masa depan dalam perkara berkaitan isu ini adalah mekanisma sedia ada dalam menangani keganasan rumah tangga. Kesemua agensi penguatkuasaan mempunyai tanggungjawab dalam mengambil tindakan ke atas sebarang bentuk keganasan rumah tangga yang dilaporkan bagi mengelakkan keganasan terus berlaku dan membolehkan pesalah ditahan; kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan kesan-kesan termasuk kematian ke atas mangsa-mangsa yang terbabit berlaku. Penilaian risiko bagi kes-kes keganasan rumah tangga adalah teramat-amat penting kerana kebanyakan kes sedemikian mempunyai tanda-tanda yang jelas yang kadang kala boleh dikira sangat berbahaya tetapi tidak diendahkan oleh mana-mana pihak.
 
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat baru-baru ini telah melaporkan bahawa kes-kes berkaitan keganasan domestik semakin meningkat. Satu kajian yang telah dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita (KANITA), Universiti Sains Malaysia telah merumuskan bahawa 9 daripada 100 isi rumah di Malaysia mempunyai seorang wanita yang telah melalui episod keganasan rumah tangga. Statistik ini sahaja sudah dikira mencukupi untuk dijadikan justifikasi bagi memperbaiki protokol sedia ada dalam urusan berkaitan penghapusan keganasan rumah tangga. 
 
Akhir kata, ramai mangsa sudahpun terkorban akibat kegagalan pihak bertanggungjawab mengesan tanda-tanda keganasan rumah tangga, bukankah sudah sampai masanya untuk kita mengambil tindakan dan menghentikan semua ini?
 
Dikeluarkan oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sally Wangsawijaya, Pegawai Advokasi
 
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Sally Wangsawijaya
Pegawai Advokasi,
Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
Telefon: 03 7957 5636


«  Back