News

Fasal berkaitan keganasan ke atas wanita harus diperbaiki, tarik semula rang undang-undang dan lakukan konsultasi

Posted on 22 October 2013
 

 Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG)

 

Kenyataan media untuk penerbitan segera

22 Oktober 2013 

Fasal berkaitan keganasan ke atas wanita harus diperbaiki, tarik semula rang undang-undang dan lakukan konsultasi

 

Awal pagi ini, kerajaan telah menarik balik dua fasal berkenaan vandalisme dan penghinaan ke atas bendera Malaysia yang dianggap bermasalah dalam Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan). Walau bagaimanapun, tindakan ini dilihat masih belum mencukupi – Rang Undang-Undang itu seharusnya ditarik balik secara penuh.

 

Rang Undang-Undang yang memudaratkan

Sekumpulan fasal yang boleh dianggap berbahaya, termasuklah seksyen 203A yang dicadangkan, yang menyatakan bahawa denda sehingga satu juta ringgit akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang mendedahkan sebarang maklumat yang diperoleh di bawah mana-mana undang-undang, masih lagi dikekalkan dalam Rang Undang-Undang yang dibincangkan.

Pindaan yang dicadangkan berkenaan keganasan rumah tangga juga masih mempunyai banyak kelemahan dan perlu diperbaiki segera. Sebagai contoh, cadangan pindaan bagi seksyen 326A hanya boleh digunakan dalam kes penderaan yang melibatkan pasangan yang sudah berkahwin. Seksyen ini perlu dipastikan konsisten dengan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Pindaan bagi seksyen 326A yang dicadangkan sepatutnya turut perlu merangkumi penderaan yang dilakukan oleh bekas pasangan dan ahli keluarga lain (contohnya adik-beradik mahupun adik-beradik ipar). Hakikatnya, 54 peratus daripada jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan pada tahun 2012 melibatkan pesalah yang bukan pasangan berkahwin mangsa. Seksyen ini turut perlu dipinda bagi memastikannya seksyen ini merangkumi kesemua bentuk keganasan rumah tangga, termasuklah yang berbentuk seksual mahupun psikologi, seperti yang tertakluk di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga. Budi-bicara mahkamah turut perlu dikekalkan dalam menetapkan tempoh hukuman dan bentuk hukuman yang dikenakan kepada mereka yang didakwa dalam kes-kes berkaitan keganasan rumah tangga.

Pelbagai pindaan berkenaan hukuman keatas pesalah dalam kes-kes berkaitan keganasan seksual, termasuklah yang membabitkan tempoh pemenjaraan, telah dicadangkan dalam Rang Undang-Undang ini. Bagaimanapun, beberapa isu penting gagal disebut dalam pindaan yang dicadangkan. Sebagai contoh, kes rogol yang berlaku antara pasangan yang sudah berkahwin masih tidak diikitirafkan sebagai satu bentuk jenayah. Walaupun kes sebegini sudahpun diakui sebagai satu bentuk kesalahan oleh 104 buah negara menurut satu laporan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Jawatankuasa berkaitan Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita (Jawatankuasa CEDAW), pindaan berkenaannya masih gagal dikemukakan.

 

Proses yang memudaratkan

Rang Undang-Undang yang sedang dibincangkan dan sepuluh rang undang-undang lain telah dirangka dan diperkenalkan dengan tergesa-gesa dan berahsia.

Tiada sebarang konsultasi dalam proses perangkaan dilakukan atau notis diberikan semasa mengemukan rang undang-undang yang dibincangkan, termasuk kepada masyarakat madani, ahli-ahli parlimen pembangkang, ataupun kepada Badan Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, dan Persatuan Peguam Bela Sarawak.

Segolongan ahli-ahli parlimen melaporkan, sebaik sahaja mereka sampai di pejabat masing-masing pada awal satu pagi, mereka mendapati 11 rang undang-undang pindaan telah diletakkan ke atas meja mereka. Seminggu kemudian, sekitar pukul satu pagi, Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan) telah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) dipercayai akan menjadi rang undang-undang seterusnya yang akan diluluskan.

Disebabkan ketiadaan sebarang bentuk konsultasi, kekurangan dalam Rang Undang-Undang ini masih lagi gagal dibincangkan. Pelbagai perkara yang telah dibangkitkan oleh ramai pihak masih lagi diabaikan.

 

Tarik balik Rang Undang-Undang

Walaupun begitu, harapan masih lagi dapat dilihat. Kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang telahpun menunjukkan sokongan mereka dalam usaha menarik dan mengkaji semula Rang Undang-Undang yang dibincangkan. Ini, digabungkan dengan desakan masyarakat awam, telah berjaya mendorong penghapusan dua fasal bermasalah seperti yang disebut di atas.

Namun begitu, desakan bagi menarik balik Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) secara penuh, dan cadangan bagi penganjuran konsultasi berkesan perlu diperkenalkan dan diketengahkan secara bersungguh-sungguh, sekiranya perubahan ingin dilihat.

Ahli-ahli parlimen perlu dihubungi segera, sama ada melalui emel, telefon, Twitter atau Facebook, bagi memastikan Rang Undang-Undang yang dibincangkan berjaya ditarik balik.

Sesungguhnya sebarang bentuk undang-undang yang memudaratkan, yang telah dirangka secara rahsia dan diluluskan dengan tergesa-gesa, tidak patut diterima.

 

Kumpulan Tindakan Bersama Bagi Kesaksamaan Gender (JAG) dianggotai oleh:

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Women’s Centre for Change Penang (WCC)

All Women's Action Society (AWAM)

Perak Women for Women Society (PWW)

Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)

Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)

Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO)

Sisters in Islam (SIS)

Tenaganita

 

 

Untuk maklumat lanjut, hubungi: Yu Ren Chung, (010) 225 7971 / renchung.wao@gmail.com 

###



«  Back