News

Keganasan terhadap wanita berleluasa

Posted on 13 June 2013
 

Surat Kepada Pengarang
11 Jun 2013


                                                                             Butakah kita terhadap kematian akibat keganasan rumahtangga?


Tidak sampai sebulan berlakunya kematian ngeri di mana seorang isteri dipukul sehingga mati oleh bekas suaminya (mukanya dipijak serta tubuhnya di cucuh dengan puntung rokok), berlaku suatu lagi kematian di mana seorang isteri warga Filipina dipukul oleh suaminya dan dibiar mati di luar perkarangan rumahnya sendiri.
 

Adakah negara kita Malaysia - samada rakyatnya, institusi kerajaannya, pihak polisnya, keluarganya serta masyarakatnya - buta terhadap kematian yang berlaku di dalam kes keganasan rumahtangga? Apa yang menyedihkan, keganasan rumahtangga merupakan perkara biasa bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Besar kemungkinan, kita mengenali wanita yang telah mengalami atau sedang mengalami penderaan di rumah. Wanitatersebut mungkin berani berhadapan dengan penganiayaan yang dihadapi, ataupun hanya merahsiakan keganasan rumahtangga yang berlaku.
 

Sebuah kajian pada tahun 1995 oleh Women’s Aid Organisation menganggarkan bahawa 36% wanita di Malaysia menderita dari keganasan rumahtangga. Baru-baru ini, sebuah lagi kajian dari Family Violence Prevention Fund menunjukkan bahawa 1 dari 3 orang wanita di dalam dunia mempunyai pengalaman penderaan seksual, fizikal, emosi serta lain-lain, sepanjang hayatnya. Laporan Sedunia Mengenai Keganasan dan
Kesihatan oleh World Health Organisation pada 2002 mencadangkan bahawa sejumlah 40-70 % wanita dibunuh seluruh dunia oleh suami, bekas suami, atau teman lelaki mereka, di mana biasanya mereka didera sepanjang hubungan itu dijalinkan.
 

Menurut undang-undang di Malaysia, wanita yang yang didera oleh ahli keluarga boleh mendapatkan perlindungan melalui Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Perlindungan ini boleh diperolehi melalui perintah perlindungan ataupun melalui pendakwaan terhadap suspek di Mahkamah. Malaysia mempunyai mekanisme bagi melindungi mangsa keganasan rumahtangga, tetapi realitinya, penguatkuasaan masih di tahap longlai.

Misalnya di dalam salah satu kes tersebut di atas, si isteri terpaksa membuat 8 laporan polis berikutan pelbagai penderaan si suami terhadap dirinya. Malangnya, selepas perintah perlindungan (IPO) diperolehi sekalipun, mendiang terpaksa membuat 4 laporan polis kerana beliau terus didera. Jelas bahawa wanita teraniaya ini telah terancam secara nyata dan berulang-ulang. Mendiang sepatutnya telah diberi perlindungan yang diperlukan.
 

Joint Action Group for Gender Equality (JAG), telah sekian lama menyuarakan kebimbangan terhadap kegagalan sistematik pihak penguatkuasa untuk melaksanakan perintah perlindungan secara berkesan. Keganasan rumahtangga masih dilihat sekadar “masalah keluarga” atau “hal rumahtangga” dan tidak diutamakan sebagai suatu jenayah.
 

Seringkali perlindungan gagal diperolehi apabila syarat mustahil diletakkan ke atas wanita tersebut, untuk “membuktikan” penderaan yang berlaku. Prosedur kini memerlukan pengeluaran perintah perlindungan dan siasatan jenayah dilengkapkan terlebih dahulu, sebelum keganasan selanjutnya boleh dihentikan. Sementara itu, sesetengah mangsa terus dicederakan, adakalanya sehingga ke penghujung hayat mereka. Ringkasnya, apakah gunanya undang-undang untuk melindungi, jika kegagalan penguatkuasaan adalah suatu realiti?
 

Kematian mangsa-mangsa keganasan rumahtangga seharusnya menjadi peringatan bahawa sebahagian pegawai-pegawai penguatkuasa perlu berubah dari segi sikap dan amalan mereka. Institusi-institusi kerajaan perlu tegas melaksanakan undang-undang dengan lebih berkesan. Di sebalik rentetan penderitaan, masyarakat perlu bergerak kehadapan, tegas menolak tanggapan bahawa keganasan rumahtangga adalah sekadar
hal peribadi. Kita perlu mengakui bahawa ia merupakan jenayah serius yang wajar dilenyapkan, bermula dari rumah kita sendiri, ataupun di kalangan jiran tetangga kita.
 

JAG menyeru agar agensi-agensi penguatkuasaan berkenaan mengkaji keberkesanan protokol mereka dalam menangani kes keganasan rumahtangga. Mangsa seharusnya diberi bantuan segera sebagaimana diperlukan. Perlu diingat bahawa keganasan terhadap seorang ahli keluarga turut memberi kesan mendalam terhadap ahli keluarga lain, terutamanya kanak-kanak yang tidak berdaya. Kerajaan seharusnya bertindak
sekarang, demi menghentikan keganasan rumahtangga dari terus merosakkan masyarakat.


------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dikeluarkanoleh Joint Action Group for Gender Equality, yang terdiri daripada :


Women's Aid Organisation (WAO)
Women’s Centre for Change, Penang (WCC)
Sisters in Islam (SIS),
All Women’s Action Society (AWAM),
Perak Women for Women Society (PWW,)
Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO),
Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER),
Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS),
Tenaganita


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Sally Wangsawijaya, Women’s Aid Organisation (WAO) di Tel: 03 7957 5636
Melissa Mohd Akhir, Women’s Centre for Change (WCC) di Tel: 04 228 0342
 



«  Back