News

Kempen Pink Heart Kumpul Dana untuk Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Posted on 15 April 2013
 

Read the original article on My Metro

 

 

Kempen The Pink Heart kumpul dana

Oleh Hamizah Badiran

Buat tahun ketiga berturut-turut, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd (Unilever) dengan kerjasama Farmasi Guardian sekali lagi menganjurkan kempen The Pink Heart 2013 bagi mencari dana menyokong Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dalam usaha memerangi keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.

Diadakan sempena Hari Wanita Sedunia, kempen yang berlangsung bermula 1 Mac lalu hingga 30 April ini membolehkan pengguna menyumbang dengan setiap pembelian produk Unilever seperti Dove, Lux, Sunsilk, Clear, Lifebuoy, Rexona, Fair & Lovely, Vaseline dan Ponds berharga RM20 dalam satu resit. 

 

Menerusi jumlah itu, pembeli layak membeli rantai leher pada harga RM2.90 dengan hasil jualan disumbangkan kepada kempen ini selain membelinya secara eksklusif di Farmasi Guardian pada harga RM9.90. 

Pengarah Pembangunan Pelanggan Unilever, Tan Mei Yen berkata, pihaknya mahu menggalakkan orang ramai melakukan perubahan kecil yang boleh mendatangkan faedah besar kepada orang lain.


“Menerusi kempen ini, secara tidak langsung ia boleh meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai masalah keganasan yang dihadapi golongan wanita dan kanak-kanak.


“Kita semua mesti bersatu menyebarkan maklumat dan menentang keganasan terhadap wanita. Sudah tiba masanya masalah ini ditangani dengan sewajarnya oleh semua pihak dan itu yang kami lakukan bersama Guardian dan WAO,” katanya. 

Pengarah Eksekutif WAO, Ivy Josiah pula menjelaskan, dalam konteks ini, WAO sebagai sebuah pertubuhan membantu wanita tertindas memerlukan dana bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan terutama penghuni di pusat perlindungan sementara miliknya. 

Pertubuhan itu yang sudah memasuki ulang tahun ke-31 berazam akan terus membantu golongan wanita dan kanak-kanak yang teraniaya akibat masalah keganasan. 

“Dalam jangka panjang, kami mahu wanita Malaysia berasa selamat ketika berada di mana saja tanpa mengenal latar belakang mereka. Usaha kami untuk mengubah pemikiran masyarakat mengenai hal ini memang sukar tanpa sokongan semua pihak yang prihatin. Justeru, saya berharap agar kita berganding bahu melaksanakan perubahan ini,” katanya.

 



«  Back