News

JAG: Senarai nomini untuk anugerah "Aiyo...Wat Lah?!" diumumkan

Posted on 13 March 2013
 

Bacakan article ini di Malaysiakini

 

 

 

Aiyoh… Wat Lah?! Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) mengumumkan senarai nomini bagi anugerah seksis, misoginistik, homofobik, dan transfobik

 
PETALING JAYA – Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) hari ini mengumumkan senarai nomini untuk Anugerah Aiyoh... Wat Lah?! 2013, serta membuka undian kepada orang ramai.

Anugerah tahunan Aiyoh… Wat Lah?! anjuran JAG yang pertama sekali diadakan tahun lepas bertujuan untuk memupuk kesedaran terhadap apa yang dimaksudkan dengan seksisme, misoginisme, homofobia, dan transfobia, serta menggalakkan pemimpin-pemimpin, tokoh-tokoh masyarakat, dan institusi awam meningkatkan taraf wacana berkenaan gender dan seksualiti.

Nomini-nomini terdiri daripada kenyataan-kenyataan dan tindakan-tindakan yang dilaporkan di media pada tahun 2012, bukan individu-individu yang membuat kenyataan atau melakukan tindakan tersebut. Nomini-nomini ini akan bertanding dalam tujuh kategori, iaitu: “Foot in Mouth”, “Insulting Intelligence”, “Policy Fail”, “Cannot Ignore”, “Least Helpful to the Sisterhood”, “Enough Already!”, dan “Right on Track”.

Sekali lagi, satu kenyataan oleh Perdana Menteri Najib Razak menjadi nomini, dalam kategori “Insulting Intelligence”. Perdana Menteri dilaporkan berkata bahawa gerakan wanita tidak diperlukan kerana wanita telah diberikan hak sejak merdeka. Kedudukan Malaysia rendah berbanding negara lain dalam kesaksamaan gender, menurut laporan Global Gender Gap 2012 anjuran World Economic Forum yang mempamerkan Malaysia di tangga ke-100 daripada 135 negara.

Senarai nomini ini juga menunjukkan sikap berdiskriminasi masih lagi berleluasa, khususnya terhadap golongan LGBT. Kategori “Enough Already!” menggambarkan keadaan ini dengan memberi tumpuan kepada kenyataan-kenyataan dan tindakan-tindakan bersifat seksis,  misoginistik, homofobik, dan transfobik yang timbul berulang-kali. Tiga daripada empat nomini dibawah kategori ini menggunakan golongan LGBT sebagai sasaran, termasuk usaha menghentikan “perebakan” LGBT, dakwaan bahawa LGBT membawa gejala buruk seperti HIV/AIDs, dan tuntutan bahawa LGBT menentang agama. Nomini keempat adalah pelbagai gangguan berterusan terhadap Ambiga Sreenevasan, pengerusi bersama Bersih 2.0.

“Saya kecewa melihat agama diperalatkan sebagai propaganda untuk mengecam masyarakat LGBT,” ulas Hew Li-Sha dari Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM) mengenai nomini-nomini dalam kategori tersebut. “Setiap agama mengajar tolak ansur dan saling menghormati. Penggunaan agama untuk menyebarkan kebencian dan menafikan hak-hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan harus ditegah,” rumus Hew.

Pesaing-pesaing lain termasuk kenyataan oleh isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor, Ketua Wanita MIC Komala Krishnamoorthy, dan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Shahrizat Abdul Jalil, yang masing-masing bertanding dalam kategori “Least Helpful to the Sisterhood” dengan memperkecilkan diskriminasi gender yang dihadapi oleh wanita, menyiratkan bahawa ahli politik wanita kurang komited berbanding ahli politik lelaki, dan meneruskan anggapan bahawa wanita sahaja yang bertanggungjawab membangunkan keluarga.

Selain enam category yang bersifat negatif, Anugerah Aiyoh... Wat Lah?! juga mengandungi kategori “Right on Track”. “Kami berasa bahawa ianya penting untuk mengiktiraf kenyataan-kenyataan dan tindakan-tindakan yang positif, serta individu-individu dan institusi-institusi yang mengambil langkah-langkah progresif itu,” kata Yu Ren Chung dari Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mengenai kategori ini, yang mengandungi kenyataan-kenyataan dan tindakan-tindakan yang khususnya membawa manfaat dalam perjuangan menghentikan keganasan berasaskan gender dan seksualiti.

“Nomini-nomini dalam kategori ini amat menggalakkan kepada kami – kami berharap dengan memberikan tumpuan kepada contoh-contoh positif ini, ianya akan menggalakkan ramai orang lagi,” tambah Yu.

Pemenang-pemenang Aiyoh... Wat Lah?! akan menerima anugerah mereka di satu upacara awam pada Ahad 26 Mei. Ribena Berry, watak yang dilakonkan oleh pelakon dan penulis Jo Kukathas, kembali sebagai hos.

“Saya gembira mengambil bahagian dalam Anugerah Aiyoh... Wat Lah?! sekali lagi. Nomini-nomini jelasnya berbesar hati menjadi buah mulut kerana sebab yang tidak diingini. Memang patut kita berikan perhatian kepada mereka ini,” kata Kukathas.

Orang ramai diujar untuk melayari aiyohwatlah.tumblr.com untuk melihat senarai nomini penuh dan untuk mengundi untuk nomini yang paling mengarut yang memaparkan seksisme, misoginisme, homofobia, dan transfobia. Tarikh tamat untuk mengundi ialah 5 April.

Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) terdiri daripada:
Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM)
Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
Sisters in Islam (SIS)
Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
Persatuan Sahabat Wanita Selangor
Persatuan Wanita Perak Untuk Wanita (PWW)
Pusat Kesedaran Wanita (WCC)
Sabah Women Action Resource Group (SAWO)
Tenagan
ita

 

###

 



«  Back