News

You Can Make A Difference Now (YCMADN): Keganasan Tidak Berkesudahan

Posted on 31 October 2011
 

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Keganasantidakberkesudahan/Article/

Hidayah Mohammad

Berita Harian

 

 

 SESI ucapan oleh Ivy pada kempen 'You can make a different now'.

SESI ucapan oleh Ivy pada kempen 'You can make a different now'.

 

WAO perlukan bantuan, kempen MAD sasar kutip dana RM300,000 bantu mangsa 

KEGANASAN terhadap wanita adalah satu pencabulan hak asasi manusia. Insiden buruk itu memberi kesan kepada wanita secara keseluruhannya di seluruh dunia tidak terbatas kepada usia, bangsa, kewarganegaraan mahupun latar belakang sosio-ekonomi.

 

Di peringkat global, dianggarkan lebih enam daripada 10 wanita mengalami keganasan fizikal atau menerima penderaan seksual dalam hidup mereka. Malah, kajian sebuah organisasi bebas bukan kerajaan, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), pada 1992 menganggarkan satu daripada 10 wanita menjadi mangsa dera suami mereka.

 

Walaupun usaha WAO setiap tahun memperkenalkan pelbagai program mendidik dan menyedarkan masyarakat terhadap isu keganasan rumah tangga, namun jumlahnya masih belum berkurangan hingga ke hari ini. Malah, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), menunjukkan Januari hingga Julai lalu, sebanyak 1,926 laporan diterima mengenai keganasan domestik manakala rogol sebanyak 1,962 kes. 

Usaha dilakukan pelbagai pihak, namun kejadian ini masih lagi masih di takuk sama seakan mangsa tidak takut terhadap tindakan dikenakan. Mangsa yang menjadi sasaran pula terus diberi bantuan di rumah atau pusat perlindungan bagi menjalani kehidupan sempurna dan tidak tertekan masalah menimpa mereka. 

Perlindungan bukan saja untuk wanita yang menjadi mangsa keganasan suami malah anak juga secara tidak langsung memerlukan pusat jagaan sewajarnya dengan diberi pendidikan, makanan, pakaian dan tempat perlindungan yang secukupnya. 

Peranan dan tanggungjawab WAO yang digalas sejak penubuhannya pada 1982, sekurang-kurangnya memberi nafas baru kepada mangsa. Namun, membantu mangsa bukan mudah tanpa sokongan masyarakat sebaliknya WAO memerlukan sokongan dan bantuan daripada orang ramai menerusi kutipan dana untuk memastikan hasrat menjaga kebajikan mangsa keganasan di Pusat Perlindungan dan Pusat Penjagaan Kanak-Kanak (Child Care Centre) serta pusat kerja sokongan WAO berjalan lancar. 
Justeru, WAO melancarkan Kempen ‘You Can Make a Difference Now!’ (MAD) baru-baru ini. Ia bertujuan bagi mengumpul dana sebanyak RM300,000 menjelang, 31 Disember ini. Kempen MAD mensasarkan orang ramai menjadi penyokong diikuti dengan seruan amalan menderma. Jumlah itu adalah sebahagian daripada kutipan RM1 juta yang diperlukan setiap tahun untuk menyelenggara pusat kebajikan WAO yang memberi impak positif dalam kehidupan wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan. 

Pengarah Eksekutif WAO, Ivy Josiah, berkata menerusi kempen MAD, WAO berhasrat membentuk kesedaran di kalangan orang awam mengenai peningkatan jumlah wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga seperti seksaan fizikal dan penderaan seksual. Hasil dana berkenaan diperlukan bagi membantu mangsa yang mahu ‘berhijrah’ dari ‘alam ngeri’ kepada kehidupan baru. 

Katanya, kes keganasan terhadap wanita berlaku sejak sekian lama dan ia boleh berlaku di mana-mana dan kepada sesiapa saja. Kempen ‘You Can Make a Difference Now!’ itu, kami mahu mendidik orang awam mengenai isu yang semakin dibelenggu wanita serta ingin mendapatkan lebih banyak sokongan. 

“Kita memerlukan perubahan. Kempen salah satu landasan bagi membuka mata masyarakat bahawa zaman serba moden ini juga masih berlaku insiden yang seharusnya dihentikan serta-merta. Bagaimanapun ia mengambil masa meningkatkan kesedaran dan kami berharap menerusi usaha menjalankan kempen MAD ia akan berjaya meningkatkan kesedaran orang ramai supaya mencari jalan bagaimana boleh membuat perubahan. 

“WAO percaya setiap individu mempunyai kuasa untuk menyumbang dan membawa perubahan. Itulah mesej asas kempen ini. Menerusi kepercayaan dan tanggungjawab kami berhasrat mendidik orang awam supaya menyokong kempen MAD dengan menyebarkannya kepada orang lain dengan memberikan sumbangan segi kewangan kepada WAO untuk membantu mangsa yang memerlukan,” katanya pada sidang media yang diadakan di WAO, Petaling Jaya, baru-baru ini. 

Hadir sama, Presiden WAO, Mok Chuang Lian. Kempen MAD juga mendapat sokongan daripada pembela hak wanita, antaranya aktivis masyarakat, Datin Paduka Marina Tun Mahathir; Penulis dan Hos Televisyen, Asha Gill; Penyampai Radio, Serena C dan Aanantha. Pada majlis itu, mereka turut sama berusaha mengumpul dana dengan mencuci dua kereta milik syarikat Malakoff Corporation Berhad untuk menderma RM2,000 sebagai sumbangan demi mencapai dana sasaran RM300,000. 

WAO sebuah organisasi bebas, tidak berasaskan agama dan bukan kerajaan yang komited untuk menangani keganasan terhadap wanita. Pusat perlindungan WAO menyediakan tempat yang selamat bagi mereka yang berhadapan dengan masalah keganasan rumah tangga, ibu tunggal, wanita pendatang yang didera termasuk pembantu rumah dan wanita yang diperdagangkan. 

Selain daripada memberi kuasa kepada wanita, Ivy berkata, WAO juga mengendalikan Child Care Centre (CCC) atau pusat jagaan kanak-kanak bagi melindungi anak wanita mangsa keganasan yang mencari perlindungan. Ia bertujuan mengelakkan kanak-kanak itu daripada menjadi mangsa secara tidak langsung kepada keganasan yang dialami ibu mereka. 

“Anak bekas penghuni WAO yang membuat keputusan untuk hidup sendiri tinggal di CCC diberikan tempat tinggal, pelajaran di sekolah berhampiran dan sistem sokongan untuk memenuhi keperluan fizikal, mental dan emosi mereka. Oleh kerana itu dana yang ingin dikumpul bagi melengkapkan semua keperluan termasuk untuk pendidikan, keselamatan, makanan, pakaian dan pelbagai keperluan lain. 

“Di CCC, WAO menyediakan penjagaan sepenuh masa bagi anak-anak bekas penghuni pusat perlindungan WAO yang dapat kembali meneruskan kehidupan mereka. Pada 2010, seramai 125 wanita dan 100 kanak-kanak diberikan perlindungan di pusat perlindungan sementara 18 kanak-kanak tinggal di CCC,” katanya. 

Sementara itu, Ivy berkata kesinambungan adalah penting bagi sesebuah pertubuhan. Apatah lagi bagi organisasi bebas dan bukan kerajaan seperti WAO memerlukan usaha berlipat kali ganda bagi memastikan matlamat tercapai dan mempunyai dana cukup untuk terus membantu wanita dan kanak-kanak yang berlindung di bawah WAO. 

“Memandangkan bilangan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan memerlukan bantuan semakin bertambah, perbelanjaan WAO juga semakin meningkat,” katanya. 

Orang ramai yang ingin menghulurkan menderma boleh mendepositkan cek atau wang tunai ke dalam akaun simpanan WAO di Public Bank Berhad dengan nombor akaun 4-5230685-13. Cek atas nama ‘Women’s Aid Organisation’ dan boleh juga dikirim melalui pos ke alamat P.O. Box 493, Jalan Sultan, 46760 Petaling Jaya. 

Untuk mereka yang ingin menderma menerusi talian, sila layari www.wao.org.my, klik pada ‘How You Can Help and Donate Now’. 

 

FAKTA 

  • Statistik seramai 125 wanita yang mendapatkan perlindungan di pusat perlindungan WAO dengan 88 daripada mereka adalah mangsa keganasan domestik. 

    Kategori dan tujuan rumah perlindungan WAO 
    Mencari perlindungan - 69.6 peratus 
    Memerlukan bantuan perundangan - 40.8 peratus 
    Tempat tinggal sementara - 69.6 peratus 
    Bantuan pulang ke negara asal - 4.8 peratus 
    Lain-lain - 16.8 peratus 

    Jumlah wanita dan anak yang mendapat perlindungan di bawah WAO 
    - Wanita tanpa anak - 43 orang 
    - wanita beranak satu - 23 orang 
    - wanita beranak dua - 23 orang 
    - wanita beranak tiga - 20 orang 
    - wanita beranak empat - 10 orang 
    - wanita beranak lima - seorang 
    - wanita beranak enam dan ke atas - dua orang 

    Tempoh mendapat perlindungan 
    - Kurang seminggu - 23.2 peratus 
    - Satu hingga dua minggu - 10.4 peratus 
    - Dua hingga tiga minggu - 12.8 peratus 
    - Satu hingga dua bulan - 24 peratus 
    - Dua hingga tiga bulan - 16 peratus 
    - Lebih dari tiga bulan - 13.6 peratus 

    Kategori Keganasan dan peratusan 
    - Fizikal - 94.3 peratus 
    - Psikologi - 96.6 peratus 
    - Seksual - 35.2 peratus 
    - Kewangan - 65.9 peratus 
    - Sosial - 52.3 peratus 

    Jenis keganasan 
    - memukul dan dan menendang - 94.3 peratus 
    - memukul dengan objek keras - 53.4 peratus 
    - membaling objek - 47.7 peratus 
    - memukul ke dinding atau membaling atau mencampak ke lantai - 36.3 peratus 
    - diserang dengan pisau atau objek - 26.1 peratus 
    - melebur dan terbakar - 10.2 peratus 


«  Back