|
KENYATAAN MEDIA
Hentikan Sebatan. Hentikan
Sebatan ke atas Kartika 07
October 2009
Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan
Jantina (JAG), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Persatuan Kebangsaan
Hak Asasi Malaysia (HAKAM) memandang dengan amat serius terhadap Panel Rayuan
Kehakiman Mahkamah Tinggi Syariah Pahang yang telah mendengar dan membuat
keputusan terhadap semakan ke atas hukuman sebat untuk Kartika Dewi Shukarno (Kartika)
tanpa kehadiran pihak berkenaan yang ingin membentangkan hujahan, atau mengumumkan
perbicaraan tersebut kepada umum.
Tambahan pula, pada 18 September 2009,
Sisters In Islam (SIS) telah memfailkan satu permohonan semakan kehakiman untuk
mendapatkan perintah penggantungan atau pindaan atau pembatalan terhadap pelaksanaan
hukuman sebat ke atas Kartika, dan permohonan ini masih belum didengar oleh
Mahkamah Tinggi Syariah Pahang.
Kami juga berasa hairan dengan kepantasan
mahkamah Syariah yang mahu hukuman tersebut dijalankan secepat mungkin sedangkan
banyak organisasi masyarakat sivil dan ramai individu dan terpelajar yang terkemuka
menyatakan rasa bimbang mereka terhadap kesesuaian hukuman denda sebanyak
RM5,000, enam sebatan yang dikenakan ke atas Kartika, seorang pesalah kali
pertama, yang telah pun mengaku bersalah dan menyatakan rasa sesal beliau
sehingga kini.
Kami berasa bimbang kerana Mahkamah Syariah
telah mengambil tindakan berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Menteri di
Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan terhadap hal ehwal agama
Islam, Mej-Gen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (“Syariah court to have more bite”,
NST, 24 April 2009) bahawa kekurangan pelaksanaan hukuman sebat “merupakan antara
faktor yang menjadi sebab peningkatan jenayah syariah setiap tahun kerana
masyarakat merasakan undang-undang tersebut adalah terlalu remeh.” Kenyataan
yang dibuat oleh Menteri tersebut adalah tidak tepat dengan mengaitkan kekurangan
hukuman sebat sebagai faktor peningkatan di dalam “jenayah syariah” kerana
kajian telah menunjukkan bahawa hukuman sebat, seperti mana hukuman dera, bukan
satu langkah pencegahan yang berkesan
terhadap perbuatan melakukan jenayah.
Hakikat bahawa Kartika sendiri nampaknya ingin
hukuman sebat tersebut dijalankan ke atasnya tidak sepatutnya menghalang pihak
berkuasa untuk melakukan sesuatu dengan adil dan penuh belas kasihan dalam semua
konteks kes tersebut. Sebagai pembela hak asasi manusia, kami berkomited untuk
mendapatkan perlakuan yang melindungi hak asasi beliau serta juga mereka yang
lain dalam keadaan yang serupa, serta untuk memastikan bahawa tidak terdapat
kemerosotan standard hak asasi manusia di Malaysia.
Keputusan yang dibuat oleh Kartika boleh dibandingkan
dengan keputusan yang dibuat oleh balu beragama Hindu pada masa lampau. Amalan
‘sati’ (kini terlarang di India) di mana balu yang masih hidup dibakar
bersama-sama mayat suaminya. Terdapat percanggahan pendapat tentang jika
seseorang balu memilih untuk mengorbankan dirinya, mereka yang lain tidak boleh
campur tangan. Jelasnya, ini bukanlah satu amalan yang tidak boleh dibiarkan
berdasarkan prinsip pilihan bebas.
Isu penting di sini adalah kemerosotan standard
hak asasi yang digunakan di negeri Pahang. Jika hukuman sebat dilakukan ke atas
seorang wanita di bawah undang-undang Syariah, ia akan mewujudkan satu preseden
yang buruk di Malaysia – terutama sekali apabila kaum wanita telah dinyatakan
dengan jelas - tidak boleh disebat di bawah S289 Kanun Acara Jenayah.
Jika Kartika dikenakan hukuman sebat,
persepsi terhadap Malaysia sebagai sebuah negera Islam yang sederhana akan
tergugat selama-lamanya.
Kami menggesa agar pihak Kerajaan
Persekutuan dan Negeri mengkaji semula hukuman sebat sebagai satu bentuk
hukuman kerana ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang
menganggap hukuman sebat dan bentuk hukuman dera yang lain sebagai kejam, tidak
berperikemanusiaan dan perlakuan yang menjatuhkan maruah.
Dalam kes Kartika, kami berasa amat khuatir
kerana prinsip am penjatuhan hukuman tidak digunakan: beliau adalah seorang
pesalah kali pertama, beliau berasa sesal dan telah mengaku bersalah, dan tidak
terdapat keganasan dalam perbuatan melakukan kesalahan tersebut. Hukuman beliau
tidak setimpal sama sekali dengan kesalahan yang dilakukan.
Kami turut menggesa agar pihak Kerajaan
Persekutuan dan Negeri mengadakan kajian semula yang komprehensif ke atas
undang-undang kesalahan jenayah Syariah, dengan tujuan memansuhkan
undang-undang sedemikian. Pada tahun 1997 dan 2005, SIS telah menyerahkan memorandum
kepada pihak Kerajaan tentang kesalahan jenayah syariah, membangkitkan pelbagai
isu yang membimbangkan termasuklah peruntukan-peruntukan di dalam undang-undang
tersebut yang tidak berasaskan teori dan amalan undang-undang Islam, bercanggah
dengan Perlembagaan Persekutuan, serta juga bercanggah atau bertindan dengan
Kanun Keseksaan dan undang-undang persekutuan yang lain.
Akhir sekali, kami ingin mengingatkan pihak
berkuasa yang berkaitan bahawa keadilan hendaklah dilembutkan dengan rasa belas
ihsan; dan bukan hanya keadilan dilakukan dengan saksama tetapi ianya hendaklah
benar-benar dilakukan secara adil agar masyarakat Malaysia berasa yakin dengan
proses di mahkamah Syariah.
30 September 2009
Dikeluarkan
oleh:
1.
Kumpulan Tindakan
Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) yang terdiri daripada Sisters in Islam
(SIS), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER), Women's Aid
Organisation (WAO), All Women's Action Society (AWAM) and Women’s Centre for
Change, Penang (WCC);
2.
Suara Rakyat Malaysia
(SUARAM); dan
3. Persatuan Kebangsaan Hak
Asasi Malaysia (HAKAM)
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Mas Elati Samani (Ella)
Pengurus Program
Pendidikan Awam dan Komunikasi
Sisters In Islam
No.7, Jalan 6/10, 46000 Petaling Jaya
Selangor, Malaysia
Tel: 603-7785 6121, Fax: 603-7785 8737
Website: www.sistersinislam.org.my
Email: maselati@sistersinislam.org.my,
maselati@gmail.com
|